Ajax julang gelaran berganda

DOETINCHEM, 16 Mei – Ajax dimahkotakan juara Belanda buat kali ke-34 awal pagi tadi selepas menang bergaya 4-1 di De Graafschap, melengkapkan gelaran berganda domestik seminggu selepas terkandas dari Liga Juara-Juara di tangan Tottenham Hotspur.

Gol-gol Ajax dijaringkan oleh Lasse Schoene, Nicolas Tagliafico dan Dusan Tadic, yang menjaringkan dua gol, menyaksikan pasukan kendalian Erik ten Hag memenangi lapan perlawanan liga berturut-turut.

Ajax memasuki perlawanan terakhir musim ini dengan kelebihan tiga mata di depan pesaing terdekatnya, PSV Eindhoven dan mempunyai kelebihan 14 gol lebih banyak selepas menewaskan Utrecht 4-1 dan PSV tewas 1-0 di AZ Alkmaar hujung minggu lalu.

Keputusan hujung minggu lalu itu menjadikan gelaran berganda pertama dalam tempoh 17 tahun semakin hampir, Ajax memenangi Piala Belanda pada 5 Mei, dan akhirnya kemenangan PSV 3-1 ke atas Heracles hanya sia-sia.

Bagaimanapun pasukan bertenaga Amsterdam itu, yang mencuri hati dengan permainan bola sepak mereka sehingga membawa mereka hampir mara ke final Liga Juara-Juara dalam tempoh lebih dua dekad, bakal menyaksikan bintang-bintangnya dijual pada musim panas ini.

Pemain tengah Frenkie De Jong akan pergi ke Barcelona musim panas ini dengan bayaran awal 75 juta euro, sementara pertahanan tengah, Matthijs de Ligt, yang mana tandukannya telah menyingkirkan Juventus dari suku akhir, mungkin mengikuti langkah rakan sepasukannya itu ke Catalonia.

Selepas menyingkirkan Real Madrid dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, jurulatih Franck De Boer mengakui bahawa penyerang Hakim Ziyech dan David Neres juga menjadi sasaran beberapa buah kelab besar Eropah di akhir musim ini. – AFP

Matthijs de Ligt meraikan kejuaraan Ajax bersama rakan sepasukannya selepas menjulang gelaran liga buat kali ke-34. – AFP