LONDON, 1 Mei – Ajax menghampiri final Liga Juara-Juara pertama dalam tempoh 23 tahun selepas gol awal Donny van de Beek menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 dalam perlawanan pertama separuh akhir, pagi tadi.
Jaringan pembuka Van de Beek pada minit ke-15 menjadi ganjaran kepada dominasi babak pertama pasukan Belanda itu ketika Tottenham benar-benar memerlukan kehadiran Harry Kane yang cedera dan Son Heung-min yang masih digantung. Tottenham meningkatkan rentak selepas rehat walaupun Jan Vertonghen mengalami kecederaan dan terpaksa dibantu keluar selepas berlaga kepala dan inspirasi amat diperlukan untuk menyamakan kedudukan tanpa dua penjaring terbanyak. Ajax dengan mudah mendapat kelebihan untuk kembali ke Johan Cruyff Arena bagi perlawanan kedua minggu depan apabila rembatan David Neres terkena tiang 10 minit sebelum permainan tamat.
Ajax telah menunjukkan bahawa mereka tidak gentar dengan ramai pemain muda dalam skuad, malah bertambah yakin selepas mengejutkan Real Madrid dan Juventus untuk melangkah ke fasa empat terakhir.
Spurs gembira bertahan dan menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas tetapi rancangan itu tidak berkesan apabila hantaran mudah Hakim Ziyech menemui midfielder Van de Beek tanpa cabaran berjaya merembat ke arah sudut bawah gawang Hugo Lloris. Lloris berjaya mempertahankan pasukannya dalam permainan 10 minit kemudian apabila Van de Beek terus mengancam untuk meningkatkan serangan. Fernando Llorente adalah wira perlawanan dengan gol penentuan ketika pemain Mauricio Pochettino mengakhiri peluang Manchester City pada peringkat suku akhir untuk menjulang empat piala musim ini.
Walau bagaimanapun, pemain Sepanyol itu bergelut mencari peluang jaringan bagi pasukannya untuk mengurangkan tekanan Ajax.
Peluang terbaik Tottenham menjaringkan gol sebelum rehat hadir ketika tandukan Llorente dan tendangan percuma Kieran Trippier tersasar. – AFP
