PARIS, 29 OGOS – Edson Alvarez dan kapten Dusan Tadic menjaringkan gol untuk membantu pasukan yang mara ke separuh akhir musim lalu, Ajax menewaskan APOEL 2-0 dalam aksi timbal balik playoff Liga Juara-Juara, sekali gus menempah tempat ke peringkat kumpulan.
Alvarez, pertahanan Mexico yang dibeli musim panas lalu dari Club America bagi menggantikan Matthijs de Ligt, membuka jaringan dua minit sebelum rehat dan Tadic menambah jaringan ketika permainan berbaki 10 minit.
Pada perlawanan pertama di Cyprus, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Ajax mengejutkan Real Madrid dan Juventus dalam laluan ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, di mana mereka tewas kepada Tottenham Hotspur. Sebelum itu mereka mengatasi juara Greece PAOK di pusingan ketiga kelayakan.
Selain De Ligt, juara empat kali Eropah itu turut kehilangan pemain tengah Frenkie de Jong kepada Barcelona sejak persembahan cemerlang musim lalu.
Donny van de Beek, yang dikaitkan dengan Real Madrid, tidak beraksi menentang APOEL akibat kecederaan.
Dalam perlawanan lain, Club Brugge menewaskan LASK Linz dari Austria 2-1 untuk mara dengan kemenangan agregat 3-1.
Sementara itu juara Czech, Slavia Prague menewaskan CFR Cluj dari Romania 1-0 hasil jaringan Jan Boril untuk kemenangan 2-0 secara agregat.
Kali terakhir Slavia tampil di peringkat kumpulan ialah pada musim 2007-08, di mana mereka dibelasah Arsenal 7-0. – AFP
