Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Belia Mualaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Pembubaran Ahli Jawatankuasa (AJK) Belia Mualaf As-Syahadah 2023-2024 dan Pelantikan AJK Belia Mualaf As-Syahadah 2025-2026 yang baharu, bertempat di Dewan Serbaguna, PDI, malam tadi.
Hadir selalu tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Dalam ucapan oleh Haji Ahmad Abdussalam antara lain menyeru agar AJK baharu Belia Muallaf As-Syahadah akan dapat melaksanakan tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab, ikhlas, jujur dan amanah.
Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada AJK Belia Muallaf As-Syahadah bagi tahun 2025 hingga 2026 atas pelantikan tersebut.
Beliau turut melahirkan keyakinan, barisan yang dilantik ini telah melalui satu proses pemilihan yang rapi dan memiliki ciri kepimpinan untuk membimbing rakan-rakan yang lain serta membantu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan bagi melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk tahun ini dan tahun depan
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa. Kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis dan seterusnya ucapan daripada mantan Pengerusi Belia Mualaf As-Syahadah 2023-2024, Dayang Nurul Nadzirah binti Haji Simpon.
Di majlis itu, tetamu kehormat majlis turut menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan serta surat lantikan kepada AJK Belia Mualaf As-Syahadah dan seterusnya menyaksikan bacaan ikrar diketuai oleh wakil AJK Belia Mualaf As-Syahadah dan diakhiri dengan bacaan Surah Al-‘Asr dan Tasbih Kaffarah.
Belia Muallaf As-Syahadah bertujuan untuk mencungkil bakat kepimpinan dan mengenal pasti potensi belia mualaf dalam meningkatkan mutu dan kualiti khidmat dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.
Di samping meningkatkan lagi kebolehan dan kefahaman ahli-ahli baharu akan segala tugasan yang bakal mereka laksanakan, mengeratkan silaturahim sesama ahli serta memberi penghargaan kepada AJK lama yang telah berkhidmat.
Antara lain objektif acara tersebut diadakan adalah untuk merealisasikan asas perpaduan dan kesefahaman, saling bantu-membantu sesama AJK di samping menanam dan memupuk semangat kerjasama agar melatih belia untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
Selain membentuk belia yang berkepimpinan, berkebolehan tinggi dan berdisiplin untuk menjadi teladan kepada belia mualaf yang lain.