Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Jemaah tadarus subuh dan ahli Jawatankuasa Takmir (AJK) Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di masjid berkenaan.
Hadir menyertai majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Duha sehingga An-Nas yang dipimpin oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.
Manakala itu, Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud membaca Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Selamat.
Majlis Khatam Al-Quran itu di-kendalikan sebagai tanda syukur para pembaca Al-Quran selepas melengkapkan bacaan 30 juzuk yang diadakan setiap hari selepas sembahyang Fardu Subuh berjemaah di samping itu juga dijadikan sebagai ibadah dan mengimarahkan masjid berkenaan.


