BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh, pagi kelmarin, telah menyemarakkan lagi kedatangan awal tahun baru Hijrah dengan mengendalikan acara riadah yang diisi dengan aktiviti walkaton dan basikalton yang bermula dan berakhir di perkarangan masjid kampung berkenaan.
Hadir menyertai aktiviti tersebut dan melepaskan peserta lelaki dan perempuan terdiri daripada jemaah masjid ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @Othman.
Beberapa kategori turut diadakan termasuk bagi warga emas berumur 70 tahun dengan Kategori Walkaton sejauh 3.9km dikhaskan bagi peserta Muslimah, manakala walkaton sejauh 5.8km bagi peserta lelaki dan Kategori Basikalton adalah sejauh 14.9km.
Riadah itu yang juga dihasratkan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan jemaah telah dimulakan dengan solat Fardu Subuh berjemaah, tazkirah serta aktiviti senamrobik bagi memanaskan badan.
