CHUNCHEON – Ketika kerjaya Son Heung-min bermula di England, legasinya sudah terbentuk di Korea Selatan, di sebuah akademi inovatif di mana kawalan bola adalah menjadi keutamaan dan bukannya kebolehan rembatan.
Akademi Bola Sepak SON terletak di kampung halaman Son, Chuncheon, dikendalikan oleh bapanya Son Woong-jung, mengambil pendekatan berbeza berbanding di kebanyakan tempat di Korea Selatan, di mana pada kebiasaannya latihan adalah meletihkan dan pemain-pemain muda kerap berlatih sehingga lapan jam sehari.
Namun kesan daripada terlalu banyak latihan di usia terlalu muda boleh menjejaskan potensi pemain, jelas Son senior, yang merupakan bekas penyerang berbakat namun kerjayanya terpaksa dihentikan disebabkan kecederaan kerana terlalu bekerja keras.
“Sistem bola sepak Korea terlalu obses dengan kemenangan, jadi kanak-kanak menjadi letih di usia muda,” katanya kepad AFP.
Berazam untuk tidak membiarkan anaknya menerima nasib yang sama, dia tidak membenarkan Son menyertai pasukan bola sepak sehingga berusia 14 tahun dan melatihnya sendiri, dengan memberikan tumpuan pada asas bola sepak.


Jadi semasa rakan seusianya bermain 11 lawan 11, bintang masa depan Asia itu menjalani latihan bagi kemahiran asas iaitu kawalan bola, mengelecek dan hantaran dalam tempoh kurang daripada dua jam sehari, bagi mengelakkan daripada terlalu letih.
Dan ia berbaloi, penyerang berusia 26 tahun itu kini antara pemain yang mampu membuat rembatan dengan kedua-dua belah kaki dengan selesa dan baru sahaja menandatangani kontrak lima tahun dengan Tottenham Hotspur selepas muncul sebagai pemain Asia yang menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah Liga Perdana.
Kini bapanya, mengamalkan falsafah yang sama kepada puluhan kanak-kanak dan remaja yang menyertai akademinya di Chuncheon, sebuah bandar kecil kira-kira 75 kilometer timur Seoul, di mana Son meluangkan zaman kanak-kanaknya.
Tidak diajar melakukan rembatan
Bapa Son, yang berusia 56 tahun, mempunyai perancangan besar bagi Akademi Bola Sepak SON, berharap untuk mengembangkannya dengan membina sebuah sekolah, beberapa padang bola sepak, kemudahan futsal, sebuah gim dan muzium yang didedikasikan untuk anaknya.
Dengan tumpuan pada kemahiran asas, program latihan yang ditawarkan di akademi itu adalah yang dilaksanakan untuk mengajar anaknya sebelum ini, mungkin lebih baik, menurutnya.
Lebih daripada separuh pelajar di akademi itu berusia lebih 15 tahun dan seorang pun belum diajar untuk melakukan rembatan. “Mungkin dalam tempoh dua tahun,” katanya, menambah bahawa melakukan latihan rembatan boleh menyebabkan tisu otat tegang dan kemudian masalah lutut.
Rutin berulang dan perkembangan perlahan kelihatannya tidak membimbangkan Ryu Dong-wan, salah seorang pelajar di sana. “Kawalan bola saya semakin tepat,” pelajar berusia 16 tahun itu, yang sangat meminati Son.
Meskipun Son tidak lagi memerlukan latihan persendirian daripada bapanya, Son senior selalu berada di sisinya, dengan menganalisis permainannya dalam setiap perlawanan.


Ia begitu sejak itu: ketika Son membuat keputusan luar biasa untuk berhenti sekolah di usia 16 tahun bagi menyertai akademi belia Hamburg SV di Jerman, bapanya juga ikut.
“Saya tinggal di sebuah tempat penginapan murah berdekatan dengan akademi itu dan membangunkannya awal pagi latihan ringan sebelum menjalani latihan bersama pasukan,” kata Son senior.
Dia mendedikasikan hidupnya untuk menyokong anak lelakinya, Son, yang kerap mengaitkan kejayaannya dengan dedikasi bapanya, dan menjangka ibu bapa di akademinya melakukan perkara yang sama.
“Saya kerap berteriak ke arah ibu bapa,” kata Son senior ketawa.
“Sama ada golf atau tenis, dalam apa sahaja bidang, ibu bapa yang membesarkan anak yang berjaya adalah berbeza,” tambahnya.
Tiket emas
Kebanyakan ibu bapa pelajarnya, yang menjadikan Son senior sebagai contoh ikutan, mengunjungi padang latihan setiap hari, menyaksikan anak masing-masing menjalani latihan di bawah terik matahari.
Seorang ibu, Jung Hee-suk tidak teragak-agak untuk berpindah ke Chuncheon seisi keluarga, satu syarat untuk mendaftarkan anak ke akademi itu, percaya bahawa dia mempertanggungjawabkan anaknya kepada orang yang betul.
“Dia mempunyai pengalaman melatih selama beberapa dekad,” katanya. “Dia tahu bola sepak berbanding orang lain.”
Sementara itu semua mata tertumpu pada Son pada Sukan Asia di Indonesia bulan ini, di mana kejohanan itu mampu menjadi ‘tiket emas’ Son untuk dijadikan pengecualian daripada perkhidmatan tentera selama 21 bulan sekiranya mereka menang pingat emas.
Tetapi Son senior berkata prospek mengelakkan perkhidmatan ketenteraan adalah ‘kepentingan kedua’ berbanding peluang untuk membuatkan negaranya bangga.
“Setentunya, jika kami memenangi pingat emas, Heung-min mendapat manfaat daripadanya, ia akan menjadi situasi menang-menang buat negara dan bagi kami,” katanya. – AFP