Akademi Huawei pertama di UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Huawei Technologies (B) Sdn Bhd (Huawei Brunei) telah bekerjasama untuk menubuhkan akademi ICT di negara ini sebagai sebahagian daripada inisiatif global syarikat pembekal penyelesaian ICT berkenaan untuk menyokong pembangunan kemahiran ICT.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini, UTB akan menjadi universiti pertama di negara ini yang menjadi sebahagian daripada akademi ICT yang mempunyai kehadiran di 72 buah negara.

Ke arah itu, Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Brunei, Zhangjianwei telah menandatangani perjanjian dengan objektif untuk memupuk bakat-bakat ICT dalam kalangan pelajar untuk mempersiapkan mereka bagi pembangunan ICT pada masa depan.

Kenyataan menyatakan, perkongsian itu menekankan ke atas peningkatan jumlah profesional ICT di negara ini menerusi program-program penyelidikan bersama, pendidikan dan latihan. Ini akan membolehkan kedua-dua belah pihak mewujudkan platform bagi kolaborasi teknikal.

Di bawah perjanjian berkenaan, akademi bukan berasaskan keuntungan yang di namakan Huawei Authorized Information and Network Academy (Akademi Huawei) itu membolehkan UTB untuk mengendalikan latihan pensijilan Huawei kepada pelajar-pelajar mereka.

UTB bekerjasama dengan Huawei Brunei untuk menubuhkan Akademi Huawei pertama di negara ini di universiti berkenaan. – Gambar serahan UTB

Perkongsian ini mewujudkan penghubung antara akademia dan industri dalam memupuk bakat ICT dan melengkapkan para pelajar dengan kemahiran ICT yang diperlukan bagi pekerjaan dan melahirkan tenaga kerja masa depan untuk mengisi jurang kemahiran ICT global.

Kenyataan menyatakan, Akademi Huawei akan menyediakan pelajar-pelajar UTB dengan kemahiran secara langsung dan pensijilan industri dalam teknologi-teknologi dan keselamatan rangkaian dengan menggabungkan latihan standard industri dalam kurikulum sedia ada.

Para pelajar juga akan dapat memuat turun salinan peribadi bagi simulator rangkaian Enterprise Network Simulation Platform (eNSP) Huawei, alat pembelajaran penting yang akan membantu meningkatkan kemahiran profesional mereka dan juga peluang untuk mendapatkan pengalaman menggunakan peralatan rangkaian perusahaan Huawei.

Pada peringkat awal, UTB menerusi Akademi Huawei akan menawarkan latihan bagi Pensijilan Routing and Switching (R&S) yang membawa kepada pensijilan bagi Certified ICT Expert (HCIE-R&S).

Akademi berkenaan akan dilengkapi dengan peralatan rangkaian IP dan produk-produk yang disumbangkan oleh Huawei, tambah kenyataan itu lagi.

Dengan penubuhan akademi berkenaan, UTB menerusi Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (SCI) akan dapat mengembangkan kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan teknikal yang dapat diberikan kepada pelajar dan orang ramai.

Ini, tambah kenyataan, juga akan membantu SCI untuk mengembangkan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunannya dengan Huawei dan mencapai misi universiti bagi keupayaan-keupayaan berkaitan industri ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei.

Huawei pada masa ini bekerjasama dengan lebih 938 buah universiti untuk membuka akademi-akademi ICT Huawei di seluruh dunia dengan kira-kira 332 di China.