Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Akal sihat jamin kehidupan berkat’

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Dalam era digital masa ini, cabaran semakin besar terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

    Oleh itu, sistem imun atau kekebalan diri perlu diperkuatkan dengan pendidikan agama, kerana ianya penting supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar kerajaan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan perkara itu sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, hari ini.

    Titah Baginda lagi, “Dengan izin Allah dapatlah kita menyambut dan menyemarakkan bulan Rabiulawal sempena hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.”

    Antara tujuan Nabi Muhammad SAW diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak, sebagaimana Allah memperakui Baginda Rasulullah merupakan contoh terbaik untuk diikut.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Melihat senario yang sangat membimbangkan, Baginda dalam titahnya berharap pendidikan khasnya pendidikan agama hendaklah berperanan secara berkesan dalam menyemai akhlak mulia melalui pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.

    Dalam perkara ini, tegas Baginda, ibu bapa dan penjaga serta pihak lain yang berkepentingan dikehendaki supaya peka dengan setiap perkembangan kognitif dan kesihatan mental anak-anak dan pelajar serta bersikap lebih prihatin terhadap kegiatan mereka dalam melayari capaian Internet, agar kemudahan teknologi digital tidak disalahgunakan.

    Baginda bertitah berharap agar aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak berkenaan dapat disampaikan secara berhikmah hingga mampu menjadi benteng menghalangi ajaran sesat daripada disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media.

    Kerajaan Baginda melalui semua agensi penguatkuasaan terus meningkatkan usaha menangani ajaran sesat dan pengawal fahaman pluralisme, ektremisme dan radikalisme supaya tidak tersebar di negara ini, dan ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan, tegas Baginda.

    Dalam titah, Baginda turut menyentuh mengenai tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW tahun ini, Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW.

    Tema ini amat sesuai untuk dihayati, titah Baginda, berdasarkan cabaran masa kini yang memerlukan akal dipelihara, kerana akal yang sihat menjamin kehidupan berkat.

    “Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya kerana sebab itu gejala mental adalah menjadi keutamaan untuk dirawat,” tegas Baginda lagi.

    “Akal adalah kurnia terbesar Allah, dan sangat penting untuk kelangsungan hidup dan sebab itu agama Islam telah menyediakan panduan bagaimana memelihara akal supaya tetap sihat.

    “Jangan terganggu dan terjejas, iaitu antaranya telah mengharamkan segala benda yang memabukkan yang boleh merosakkan akal, seperti meminum arak, menyalahgunakan dadah dan sebagainya.”

    Ia termasuk semua perkara yang boleh membawa kepada ketagihan, tegas Baginda, seperti melayari aplikasi media secara tidak terkawal, menyalurkan maklumat tidak sahih dan melihat imej atau klip video yang tidak bermoral, di mana semua itu boleh mengganggu fungsi akal yang sebenar.

    Di akhir titah perutusan, Baginda menyeru untuk sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai usaha menagih syafaat dunia dan di akhirat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda