Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akanji sedia harungi ulangan final 2023

    MANCHESTER, 17 SEPT – Manchester City bersedia untuk pertembungan semula Liga Juara-Juara dengan Inter Milan yang disifatkan sebagai satu pertemuan ‘sangat sengit’ bagi juara edisi 2023 itu.

    Skuad kendalian Pep Guardiola itu menewaskan Inter 1-0 pada aksi final dua musim lalu di Istanbul untuk meraih gelaran sulung mereka di kancah Liga Juara-Juara. Inter dijadual berkunjung ke Stadium Etihad esok dengan City bakal merasai pengalaman sulung mereka dalam format baharu kejohanan, di mana 36 pasukan bersaing dalam satu jadual dan bermain lapan perlawanan setiap satu berbanding peringkat kumpulan tradisional dengan enam perlawanan.

    Pertahanan City, Manuel Akanji tidak meminati format baharu itu kerana menambah bebanan kepada pemain ditambah dengan musim penuh padat termasuk menyertai Piala Kelab Dunia di Amerika Syarikat.

    “Ia akan lebih menyulitkan dengan liga. Awda menentang pasukan berbeza-beza dan kemudian Inter tidak mempunyai lawan sama seperti kami.

    “Ia semakin besar, lebih banyak perlawanan,” kata Akanji.

    Aksi Manuel Akanji semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Manchester City di Stamford Bridge di London pada 18 Ogos lalu. – AFP

    “Kemudian kami menyertai Piala Kelab Dunia pada penghujung musim nanti. Ia hanya perlawanan ke satu perlawanan lain dan saya tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam beberapa tahun lagi.

    “Ia sangat sukar, kamu tidak memikirkan mengenai musim ini sahaja tetapi juga musim seterusnya. Bila kami akan berehat? Tidak ada rehat pada musim sejuk.

    “Sekiranya kami bertuah, kami mempunyai dua minggu dan kemudian kami perlu kembali dan memasuki musim seterusnya.

    “Tidak ada penghujungnya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Mungkin saya akan bersara pada usia 30!”

    Di sebalik keluhannya, Akanji, 29, berpeluang untuk kembali membuat perhitungan dengan Inter selepas meraih gelaran treble 15 bulan yang lalu.

    Ia adalah satu kejayaan besar buat City selepas berdepan kekecewaan di Liga Juara-Juara ketika era Guardiola, termasuk tewas di tangan Chelsea pada final 2021.

    “Saya amat menantikannya, walaupun dengan format baharu,” kata Akanji. “Saya fikir yang lama lebih baik tetapi kami tetap akan menentang pasukan terbaik dan bermula dengan perlawanan hebat bertemu Inter.

    “Kali terakhir kami bertemu mereka adalah di final, jadi ia adalah satu memori yang bagus buat kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda