BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini telah melancarkan Akaun BIBD MSME yang direka khas untuk menampung keperluan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan BIBD, akaun itu hanya memerlukan penyimpanan serendah $50 sahaja, jauh lebih rendah daripada keperluan minimum sebanyak $1,000 yang dikenakan oleh kebanyakan bank untuk akaun korporat.
Pemegang akaun BIBD MSME akan mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan perbankan korporat termasuklah pembiayaan, perbankan digital dan secara automatik disenaraikan dalam senarai pembayaran BIBD dalam aplikasi perbankan digital BIBD untuk kemudahan transaksi antara pelanggan dan PMKS.
Akaun BIBD MSME juga akan membolehkan ahlinya mempunyai akses melalui inisiatif BIBD seperti BIBD SME 360 bagi meningkatkan pengetahuan dalam disiplin kewangan yang lebih baik dalam pengurusan perniagaan dan kewangan peribadi.
