Pelawak dari Singapura, Jocelyn Chia menafikan akaun Instagram (IG) miliknya dipadam susulan jenaka keterlaluannya mempersendakan Malaysia dan tragedi MH370 seperti yang tular, baru-baru ini.
Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram Story (IGs), Chia mendakwa akaunnya itu hanya digantung sementara atas alasan menyamar menjadi selebriti.
“Khabar angin menyatakan saya memadam akaun IG atau akaun itu dipadam oleh pihak IG.
“Akaun IG saya sebenarnya digantung kerana menyamar sebagai selebriti.
“Saya sendiri tertanya-tanya siapa selebriti dimaksudkan. Dan jawapannya adalah saya, Jocelyn Chia,” tulisnya sambil disertai emoji air mata sukacita.

Menerusi hantaran selanjutnya, Chia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada komuniti komedi sambil menyatakan rasa sayangnya pada mereka.
“Kepada komuniti komedi, terima kasih. Saya sangat menyayangi awda semua,” ungkap Chia.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Chia turut bergurau mengenai bekas kekasihnya yang tiba-tiba muncul selepas isu membabitkannya hangat diperkatakan.
Terdahulu, agensi melaporkan susulan kontroversi itu, akaun IG dan Twitter milik Chia dipadam berkemungkinan disebabkan banyak laporan dibuat oleh warganet Singapura.
Rabu lalu, tular video Chia dalam satu persembahan komedi berdiri di Amerika Syarikat mempersendakan Malaysia dan tragedi pesawat MH370 sekali gus menimbulkan kecaman pelbagai pihak.
Malah, Singapura sendiri memohon maaf atas tindakan Chia dan menegaskan wanita berkenaan bukan lagi rakyat republik itu.
Menerusi video itu, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding Singapura yang lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu. – Agensi