Akaun Instagram Caprice disekat

Misteri kehilangan Caprice daripada media sosial akhirnya terjawab apabila akaun Instagram penyanyi rap itu rupa-rupanya digantung penyedia platform berkenaan.

Berkongsi mengenai hal itu kepada wartawan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, berkata perkongsian sebuah video di Instagram pada 4 Oktober lalu dikatakan mengandungi unsur buli atau gangguan.

“Akaun digantung sebab video terakhir dapat aduan banyak kali.

“Insya Allah minggu ni dapat post balik,” katanya kepada wartawan.

Terdahulu wartawan menghubungi Caprice bagi mendapatkan kepastian tentang kehilangannya di Instagram yang sebelum ini aktif menggunakan platform berkenaan bagi berkongsi pendapat tentang isu-isu semasa.

Caprice mengongsikan akaun Instagramnya digantung akibat menerima banyak aduan. – Agensi

Melalui tinjauan wartawan, kali terakhir Caprice berkongsi video ulasan adalah pada 8 Oktober lalu dengan menyentuh mengenai isu gangguan seksual oleh rakan sekerja.

Sehari sebelum itu, pada 7 Oktober Caprice turut mengulas mengenai isu sama namun menggunakan berita membabitkan seorang lelaki beruniform tentera.

Sementara itu berkongsi lanjut tentang larangan kandungan sensitif di Instagram, Caprice turut berkongsi paparan skrin mesej peringatan kemungkinan akaunnya akan dipadam jika terus melanggar garis panduan komuniti daripada pengendali platform tersebut.

Daripada paparan skrin yang dikongsikan itu, Instagram bertindak memadam lima posting bertarikh antara 2 Ogos hingga 4 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Caprice masih belum menetapkan tarikh terkini untuk melancarkan single rap terbaharunya, Tiger of AlQuds yang sepatutnya diadakan pada 21 Oktober lalu.

Lagu dan muzik video Tiger of AlQuds dirakamkan di Jordan dan Mesir ketika dia cuba untuk memasuki Palestin demi melunaskan misi kemanusiaannya di Palestin. – Agensi