Friday, January 31, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akaun TikTok Info Rasmi Bantuan Brunei adalah palsu!

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Satu akaun dalam aplikasi Tiktok bernama Info Rasmi Bantuan Brunei yang mengandungi maklumat untuk mendapatkan bantuan kewangan sebanyak $500 melalui Unit Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) Warganegara Brunei Darussalam telah dikesan dan didapati adalah palsu.

    Gambar serahan JAPEM menunjukkan akaun TikTok palsu.

    Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan kepada orang ramai bahawa hantaran tersebut adalah tidak benar dan jabatan ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan.

    JAPEM memandang serius isu penyamaran akaun palsu ini dan turut mengingatkan orang ramai perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun atau denda sebanyak $3,000 atau kedua-duanya sekali.

    Akaun palsu. – Gambar serahan JAPEM
    Akaun tiktok palsu. – Gambar serahan JAPEM

    Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan mempercayai maklumat-maklumat yang disebarkan melalui aplikasi sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengongsikan butiran peribadi kepada pihak tertentu yang belum dipastikan kesahihannya.

    Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Talian Kebajikan 141 yang beroperasi 24 jam jika ingin melaporkan sebarang isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kemaslahatan orang ramai.

    Platform rasmi ini adalah untuk memastikan maklumat dan isu yang diadukan akan diambil tindakan dengan segera dan berkesan, serta mengelakkan dari penyebaran berita-berita palsu dan berita- berita tular yang mungkin dapat mengganggu ketenteraman awam dan juga disalah guna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda