Hampir dua tahun tidak muncul dalam drama baharu gara-gara menolak vaksin, pelakon Rita Rudaini bakal kembali berlakon dalam sebuah karya terbitan Zeel Production.
Penerbitnya, Fadzil Teh atau mesra dipanggil Hj Zil meluahkan rasa teruja apabila Rita akhirnya setuju untuk terlibat dalam sebuah telemovie arahan Izuan Mokhtar itu yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.
“Memanglah kami sangat teruja dan gembira apabila Rita terima tawaran ini kerana kita semua tahu dia seorang pelakon yang berbakat dan rugi jika tiada karya baharu untuknya walau hanya watak kecil,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Hj Zil berkata, ada juga sedikit kebimbangan kemunculan Rita akan mendapat kritikan ramai memandangkan pelakon wanita tersebut sebelum ini cukup lantang memberi pendapat tentang isu vaksin dan mengaku tidak menerima sebarang suntikan.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat menutup mulut mana-mana pihak untuk terus bercakap dan apa yang lebih penting adalah penglibatan Rita kali ini mendapat persetujuan stesen televisyen serta semua kru produksi.
Bercakap tentang drama baharu tersebut, ia merupakan paparan kisah benar seorang pesakit HIV yang terkena jangkitan akibat kecuaian seorang jururawat dan ia pernah menjadi tular sebelum ini.
Biarpun sedar naskhah berat sukar untuk diterima masyarakat, namun bagi Hj Zil mesej yang ingin disampaikan itu harus diberi tumpuan.
“Benar cerita ini mengangkat satu jalan cerita yang agak berat dan mungkin penonton sukar untuk terima. Tetapi saya sanggup buat sebab ia merupakan kisah benar yang pernah terjadi sebelum ini,” jelasnya. – Agensi
