Jika ingin melihat bagaimana sesebuah negara itu berkembang dan terbentuk di masa depan, maka lihatlah generasi penerus masa kini, demikian bait-bait ungkapan penuh hikmah nukilan Almarhum Professor Dr Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, salah seorang ulama yang cukup disanjungi oleh umat Islam di seluruh negara.
Kata-kata hikmah itu terlintas di benak penulis ketika menyoroti berita tular baru-baru ini di platform media sosial berhubung kelibat beberapa pelajar di salah sebuah intisitusi pendidikan yang cukup dikenali di negara ini memegang senjata (meskipun senjata tersebut bukan senjata sebenar) sambil menaiki sebuah kenderaan di sekolah tersebut.
Kejadian itu seolah-olah membawa kita kembali kepada suatu realiti yang sangat membimbangkan tentang keselamatan kalangan pelajar yang merupakan aset penting negara yang juga peneraju masa depan.
Justeru itu, apa yang turut menjadi kekesalan penulis adalah akhlak dan tingkah laku mereka itu dikhuatiri akan menjadi satu trend yang diikuti anak-anak muda lain, lebih-lebih lagi media-media sosial yang mudah diakses tanpa kawalan.
Maka, dalam mengatasi perkara ini sebelum ia menjadi ‘barah’ dalam masyarakat kita, ia memerlukan tindakan segera daripada pihak-pihak yang relevan khasnya Kementerian Pendidikan dan lebih baik lagi jika diadakan kerjasama dengan pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk mendapatkan penyelesaian terbaik.
Di samping itu, ibu bapa juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka tentang kelakuan anak-anak mereka, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dalam konteks ini, pihak sekolah juga perlu mencipta persekitaran sekolah yang selamat dan menerapkan nilai-nilai pendidikan yang betul kepada generasi muda agar mereka memahami kesan serius akibat tindakan mereka.
IkhwanulMuslimin










