Oleh Ampuan –
Kisah ini terjadi beberapa tahun yang lalu. Pada ketika itu, Daerah Temburong ada menganjurkan cabaran larian 15km mendaki Bukit Patoi. Cabaran itu turut dibukakan kepada para peserta luar negara.
Ketika tiba hari kemuncak cabaran, semua peserta berkumpul dengan penuh semangat di kawasan lapang untuk mendaftar dan memulakan acara pemanasan badan serta taklimat ringkas.
Sambil-sambil menunggu acara pelepasan, Budi sempat berkenalan dengan salah seorang peserta dari negara jiran yang datang ke Brunei menggunakan motosikal.
“Ok ni naik Bukit Patoi?” soal Budi kepada Guntur.
Dengan penuh keyakinan, Guntur berkata, “Apa jua Bukit Patoi ani? Bukit Sagun pun sudah ku naik!” sambil tersenyum bangga.

Budi hanya tertawa kecil melihat keyakinan Saleh.
Setelah tiba untuk pelepasan, Budi dan Guntur berlari bergandingan dan ada kalanya mengatasi antara satu sama lain.
Ketika hampir ke puncak, Guntur yang berada di hadapan tiba-tiba membelok ke laluan kiri, manakala Si Budi meneruskan larian di trek kanan.
Hati kecil Si Budi terasa pelik, namun dia teruskan perjalanan tanpa memikirkan lanjut. Setibanya di puncak Bukit Patoi, Si Budi memandang sekeliling tetapi kelibat Guntur tidak kelihatan.
Selepas beberapa ketika, acara pun berakhir dan semua peserta mula turun kembali ke bawah. Namun, motosikal milik Guntur masih di tempat asalnya, tanpa tuannya.
Malam itu, keadaan menjadi kecoh apabila keluarga Guntur datang menuntutnya. Dia tidak pulang sejak perlumbaan dan usaha mencarinya dimulakan serta-merta.
Pihak bomba, polis, pengakap, penduduk kampung, malah ambulans turut bersedia di lokasi.
Setelah nama Guntur dipanggil berulang kali, tetapi tiada jawapan, tiada bayangan, operasi pun dihentikan sementara.
Keesokan harinya, kontraktor yang sedang bekerja memotong pokok menggunakan chainsaw bagi membuat laluan tangga di bukit tersebut terkejut apabila ternampak seorang lelaki dalam keadaan lemah dan panik dengan pakaian baju sukan meluru ke arah mereka dengan tubuhnya rebah dan terus pengsan.
Mereka pun menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut dan rupanya dialah, orang ‘sesat’ yang dicari semalam.
Guntur segera dibawa ke hospital. Setelah sedar, dia menceritakan pengalaman anehnya.
Katanya, dia melihat pasukan bomba mencarinya, tetapi setiap kali dia melambai dan berteriak meminta tolong, mereka tidak nampak atau mendengar jeritannya. Seolah-olah dia berada di alam yang berbeza.
Wajahnya bertukar pucat apabila dia menceritakan lebih lanjut. Dalam kegelapan malam di bukit, dia mendengar bisikan aneh dan melihat kelibat bayang-bayang bergerak di sekelilingnya dan hanya terkenangkan mati.
Ada yang memanggil namanya, tetapi apabila dia menoleh, tiada siapa di situ. Dia berasa seperti diperangkap dalam dunia yang bukan miliknya.
Ceritanya lagi, pagi itu, dia tersedar setelah terdengar bunyi sayup-sayup mesin pemotong pokok dan terus turun ke bawah mencari arah bunyi berkenaan.
Setelah terjumpa kontraktor, dia terus pengsan tanpa sempat berkata-kata, katanya semasa dirawat di hospital.
Setelah mendengar kisahnya itu, penduduk kampung yang biasa dan kenal dengan tempat ‘berisi’ itu percaya bahawa kejadian itu berlaku mesti berpunca daripada empunya badan itu sendiri.
Apa pengajaran yang dapat diambil daripada kisah tersebut percayalah bahawa hutan juga mempunyai ‘penghuni’ dan ada pantang larangnya.
Sebelum masuk, harus memberi salam dan meminta izin. Mungkin kerana kesombongan Guntur, dia telah ‘dibawa’ ke satu alam lain sehingga akhirnya dilepaskan.
Namun satu peringatan untuk semua dan generasi seterusnya ialah jangan bercakap besar atau ‘cabul’ ketika berada di hutan, bukit, wasai dan gunung, kerana kita tidak tahu apa yang ada di sebaliknya.
Pengajaran yang lebih besar di sini adalah tentang kehormatan terhadap alam dan juga menghormati batas-batas yang ada.
Sebelum melakukan atau berkata sesuatu, kita harus ingat bahawa segala tindakan yang dibuat ada kesannya dan kadang-kadang, akibatnya datang dalam bentuk yang tidak dijangka.
Oleh itu, setiap langkah perlu diambil dengan penuh kesedaran dan rasa hormat. Sifat rendah diri dan berhati-hati adalah lebih baik daripada sikap sombong yang boleh menyebabkan kita tersesat atau dilupakan dalam hutan kehidupan yang penuh dengan cabaran.