Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Dua anggota polis dihukum penjara selama dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan secara cuai telah menyebabkan seorang tahanan kes jenayah berjaya meloloskan diri daripada jagaan polis di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memutuskan hukuman itu terhadap Zulkiffle bin Abdul Wahab, 41, dan Mohd Nasrul Muhaimin bin Haji Tuah, 34, selepas bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa hukuman penjara adalah perlu untuk menegakkan integriti polis dan memastikan bahawa kepercayaan orang awam tidak akan dicemari.
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan, Penggal 22.
Terdahulu, pihak pendakwaan menyifatkan tindakan kedua-dua tertuduh itu tidak dapat diterima apatah lagi mereka telah berkhidmat dengan Pasukan Polis Diraja Brunei lebih 15 tahun.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh pada 19 Februari telah diarahkan oleh ketua mereka untuk menjaga tahanan yang ketika itu menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital RIPAS, dari tengah hari hingga jam seterusnya.
Zulkiffle tanpa ditemani Mohd Nasrul Muhaimin telah pergi ke wad yang menempatkan tahanan itu, yang mana Mohd Nasrul terdahulu telah memaklumkan Zulkiffle melalui WhatsApp yang dia akan datang lambat.
Sebaik di wad, Zulkiffle memberitahu dua anggota polis lain yang dia akan mengambil alih syif mereka.
Zulkiffle didapati gagal untuk memberitahu dua anggota polis itu, yang dia akan menjaga tahanan itu seorang diri kerana rakannya, Mohd Nasrul akan tiba lewat. Sekitar jam 1:45 petang, tahanan mula menyuarakan rasa tidak puas hatinya kerana ditahan oleh polis namun tidak dihiraukan oleh Zulkiffle.
Tahanan itu terus bersungut untuk minta dilepaskan buat seketika bagi membolehkan dia mendapatkan udara segar di luar. Tidak tahan dengan suara bising tahanan, Zulkiffle kemudian membuka gari dan mengiringinya keluar dari biliknya. Tahanan terus mengambil peluang itu untuk melarikan diri.
Zulkiffle kemudian mengejar tahanan itu dan bertemu dengan dua pengawal keselamatan yang turut membantunya.
Tahanan itu melarikan diri ke kawasan letak kereta tingkat bawah bangunan blok baru wanita dan kanak-kanak sebelum dikepung oleh Zulkiffle dan dua pengawal keselamatan.
Zulkiffle cuba memujuk tahanan itu untuk kembali semula ke wad tetapi tahanan enggan.
Dengan bantuan orang awam, Zulkiffle akhirnya berjaya menenangkan tahanan dan terus memberkasnya.
Dalam perjalanan kembali ke wad, tahanan meminta kebenaran untuk pergi ke surau hospital atas alasan untuk menunaikan solat. Zulkiffle tanpa memikirkan risiko keselamatan terus memenuhi permintaan tahanan itu.
Sementara itu, Mohd Nasrul pula didapati gagal melaporkan diri untuk bertugas dan hanya tiba di Hospital RIPAS selepas tiga jam dia diarahkan untuk menjaga tahanan. Zulkiffle telah melaporkan kejadian itu kepada ketuanya pada hari yang sama, dan laporan polis telah dibuat.
Kes didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi.