Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akibat dikritik, pemain Iran bersara

    TEHRAN, 29 Jun – Penyerang Iran, Sardar Azmoun mengumumkan persaraannya dari bola sepak antarabangsa pada usia 23 tahun dan berkata kritikan daripada penyokong mengenai aksinya di Piala Dunia telah menjejaskan kesihatan ibunya.

    Azmoun merupakan pemain yang sedang meningkat naik dan menjadi penjaring terbanyak Iran semasa peringkat kelayakan dengan 11 gol, menerima kritikan daripada para penyokong selepas gagal untuk mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Sepanyol tempoh hari.

    Ramai membuat jangkaan apabila Iran membuka tirai kejohanan dengan menewaskan Maghribi sekali gus mencetuskan kegembiraan di jalan-jalan raya di Tehran.

    Namun tewas dalam perlawanan seterusnya, orang ramai menerusi sosial media menuntut Azmoun untuk tidak diturunkan bagi perlawanan terakhir menentang Portugal.

    Menurut pemain penyerang itu, kritikan itu menyebabkan kesihatan ibunya merosot dan dia memutuskan untuk bersara daripada skuad kebangsaan.

    “Saya perlu membuat pilihan dan saya memilih ibu saya,” menurutnya menerusi Instagram. “Ia merupakan keputusan yang paling sukar sepanjang hidup saya.”

    Kehilangan Azmoun merupakan tamparan yang hebat buat Iran, hampir mencatat kemenangan pada saat-saat akhir ketika menentang Portugal yang mungkin menyaksikan mereka mara ke peringkat 16 buat pertama kali.

    Beberapa penulis sukan Iran memberitahu harapan mereka apabila penyerang muda itu yang beraksi bersama kelab Rubin Kazan di Rusia, akan mempertimbangkan semula keputusan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda