Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akibat ingkar nasihat ibu bapa

    Oleh Kasz Kartolo –

    Mereka berdua pada zaman remajanya bolehlah diibaratkan sebagai ‘kutu malam’.

    Abangku, Kef, suka berkumpul bersama kawan-kawannya mat motor sementara adikku, Sam, pergi ke rumah kawan rapatnya yang bernama Roslan. Kedua-dua beradik ini tidak berapa suka mendengar kata nasihat dan larangan kedua-dua ibu bapa. Biarlah ku buka tirai dengan peristiwa yang terjadi kepada abang dan adikku.

    Abangku tidak boleh malam menjenguk, pasti sudah bersiap-siap untuk keluar bersama-sama kawannya. Emak dan bapa naik serik dengan tingkah lakunya.

    “Nak keluar juga kau malam ni, Kef? Lihatah cuaca di luar tu hampir ribut nampaknya… Cubalah kau duduk diam saja di rumah malam ni,” emak mula bersuara, dengan nada yang agak marah.

    “Jangan suka berjalan malam…ada nanti kejumpaan.. baru kau tau Kef..” sambung emak merungut.

    Gambar Freepik

    “Eh…jangan bercakap macam tu.. tak baik,” ayah tiba-tiba bersuara.

    “Yalah mak… Selama ini tidak juga ada apa-apa. Lagipun mak, zaman moden ni.. mana ada perkara yang pelik-pelik,” sindir Abang sinis.

    “Jangan terlalu cabul bercakap…balik awal malam ni!” gertak ayah.

    Petang itu cuaca sudah agak mendung. Angin bertiup deras mula terasa. Bunyi guruh mula kedengaran berlegar di ruang angkasa. Bila saja malam menjenguk cuaca sudah berubah.

    “Hujan akan turun bila-bila masa, mungkin ribut malam ni…” bisik hati kecilku.

    Malam itu memang ada terasa kelainannya. Bila ku amati malam itu seram sejuk tubuhku apatah lagi mengingati peristiwa yang terjadi ke atas abangku. 

    Abangku keluar dari rumah kira-kira selepas sembahyang Maghrib. Selalunya abang dan kawan-kawannya berhimpun di simpang lorong ke rumah kami. Dari situ dengan motosikal masing-masing mereka akan menuju ke tempat para remaja lain berhimpun iaitu di depan bangunan sebuah dewan di mana mempunyai satu kawasan yang luas pemandangan yang indah terutamanya pada waktu malam.

    Cuaca yang bergelora itu tidak menjadi halangan pada mereka. Pasti akan teduh sekejap lagi…fikir mereka tanpa menyedari ada sesuatu halangan besar yang akan menimpa mereka.

    Ada remaja lain mula beredar meninggalkan kawasan itu memandangkan cuaca bertambah buruk. Kilat petir panah-memanah. Kalau berguruh cepat hujan berhenti. Kedengaran salah seorang kawan abang memberi petuanya. Mereka berlindung di anak tangga dewan yang besar itu. Begitu megah berdiri gerun juga di bawah panahan kilat. Selalunya sampai 10 buah motosikal kawan-kawan abang berhimpun di situ. Pada malam itu cuma ada tiga buah sahaja kerana ada yang sudah balik.

    Pukul 9 malam abang belum lagi balik. Hujan terus turun dengan lebatnya. Keadaan cuaca bertambah buruk. Kilat sabung-menyabung. Emak dah mula gusar. Aku tahu ayah pun tengah marah dan juga bimbang. Buat masa itu abang dan kawan-kawannya belum dapat balik kerana hujan masih turun dengan lebatnya tidak henti-henti.

    “Kita tunggu saja sampai teduh…ok,” cadang kawan abang bernama Sandy.

    “Harap-harap tidak sampai larut malam. Kalau tidak habislah aku,” jawab Abang separuh kesal kerana begitu ghairah hendak keluar malam itu tanpa mengendah nasihat ayah dan emak tadi.

    Cuaca yang sejuk membuat mereka terketar-ketar kesejukan. Kawasan itu sudah sunyi dan lengang. Seram juga melihat bangunan yang begitu besar di bawah panahan petir dan hujan lebat.

    Di dalam kepekatan malam, dalam samar-samar lampu jalan, tiba-tiba Abang terpandang satu susuk tubuh lembaga berjalan di dalam hujan lebat itu menuju ke arah mereka. Baru sahaja hendak menoleh memberitahu kawan-kawannya, lembaga tersebut sudah berada di depan mereka. Alangkah terkejutnya mereka apakah gerangan gadis yang berjalan seorang diri dalam cuaca begini. Lagipun jam sudah hampir 10 malam. Namun begitu pada sangkaan mereka mungkin juga kawan gadis itu berada dalam kesusahan dan dia mahu meminta pertolongan. Kawan-kawan Abang yang tiga seolah-olah terpesona dengan keayuan gadis misteri itu.

    Namun bagi abang dan Sandy mulai terasa ada kelainan pada gadis itu. Dengan berbaju gaun labuh sampai ke paras kaki, warna merah garang dan rambut panjang mengurai melimpasi pinggang sudah cukup membuat bulu tengkok berdiri apatah lagi berdiri tegak di bawah pancaran lampu yang samar-samar dan panahan petir. Gadis mana yang begitu berani meredah malam yang tengah bergelora ini?

    “Kenapa adik berjalan malam…hari hujan lagi?” tanya Kef berhati-hati walaupun dalam hatinya ada rasa keraguan.

    Senyuman yang dilemparkan sungguh menyeramkan macam ada tersirat di sebaliknya.

    “Tidak…saya cuma nak minta abang-abang ni balik ke kampung saya.” jawab gadis itu dengan selamba.

    Abangku merasa kehairanan dengan perangai gadis tersebut kerana kampung yang terdekat hanya kampung mereka. Lagipun besar mana kampung kami, sudah pasti kami kenal orangnya. Dalam pada itu terasa satu singgulan lembut dari Sandy. Abang mengganguk faham. Mereka dah terasa ada sesuatu yang tak kena.

    “Macam ni saja ya dik..abang-abang minta maaf kerana tidak dapat menghantar adik pulang, lagipun tidak manis dipandang orang,” Sandy tiba-tiba bersuara lembut.

    Abangku pun mula membaca-baca di dalam hatinya. Terasa keadaan begitu tegang sekali.

    “Baliklah adik sendiri, ya, dari mana arah adik datang tadi. Kami akan memata-matai dari sini saja ya,” sambung Sandy halus memujuk.

    Kawan-kawan abangku yang lain sudah mula ketakutan. Nak lari tak terdaya kerana gadis itu berada di tengah-tengah mereka. Muka mereka sudah pucat bagai tidak berdarah. Baik juga Sandy adalah seorang yang mengetahui serba sedikit dalam hal yang pelik-pelik begini.

    “Kalau kami saja di sini memang tak tahu apa yang terjadi pada kami,” keluh Kef dalam hati.

    Terus membaca-baca minta perlindungan daripada apa jua yang bakal dihadapi. Tiba-tiba dengan tidak sengaja mata abang terpandang akan kaki gadis tersebut, seolah-olah kakinya tidak mencecah tanah tapi terapung-apung.

    “Ya Allah…,” bisik Kef.

    Setelah memahami siapa sebenarnya gadis yang berdiri di depan kami.

    “Selamatkanlah kami semua daripada apa juga bencana kerana tidak ada niat jahat kami terhadap lembaga yang menyerupai gadis ini,” doa Kef ketakutan.

    Abang juga mengamat-amati kawan-kawannya yang lain. Rupanya mereka pun sudah menyedari identiti gadis itu juga.

    Seolah-olah dirinya telah diketahui, gadis itu tiba-tiba merenung tajam ke arah mereka dengan menampakan matanya yang mengerunkan. Rambutnya yang terurus tadi mula mengerbang tidak tentu hala. Senyum sinis terukir di bibir yang mula terbuka lebar dan ketawa mengilai mula kedengaran. Kawan-kawan abang lain berpeluk sama sendiri ketakutan. Sandy hanya terdiam semenjak tadi tiba-tiba berdiri dan kedengaran bersuara dengan nada tenang.

    “Balik saja ya dik…hari dah lewat…kami tak menganggu dan tidak berniat apa-apa,” kata Sandy tenang.

    Abang hanya mampu membisu dan membaca-baca di dalam hatinya.

    “Kawan yang bertiga sudah pucat muka dan kalau terjadi apa-apa tetap mereka yang dulu pengsan,” bisik Kef bimbang.

    Tiba-tiba dengan izin Allah abang teringat akan pesanan ayah dan petua orang tua. Lantas abang pun berkata dalam nada ketakutan.

    “Jangan apa-apakan kami. Kami tidak menganggu adik. Kami cuma duduk di sini menanti hujan teduh. Beredarlah dari sini dan kembalilah ke tempat asalmu,” Kef bersuara.

    Pada mulanya abang kurang yakin yang kata-katanya itu akan berjaya kerana tiba-tiba gadis itu merenung tepat ke arah abangku dengan matanya merah menyala membuat darah abang gemuruh. Kawan-kawan yang lain kecuali Sandy terus dibuai ketakutan. Muka mereka semakin pucat.

    “Pergilah balik…ya dik…kitakan sama-sama makhluk Allah,” Kef menguatkan semangatnya.

    Sambil berjanji di dalam hatinya tidak akan mengingkari cakap orang tua.

    “Mungkin ini adalah dugaan dari Allah untukku,” keluh Kef dalam hatinya.

    Alhamdulillah dengan izin Allah ternyata usaha abang itu berhasil apabila hilaian ketawa gadis itu berhenti. Kemudian gadis itu berpaling berjalan ke arah ia datang tadi dan terus menghilangkan diri di dalam kepekatan malam itu.

    Apa lagi abang dan kawan-kawannya tidak membuang masa terus memecut motosikal masing-masing meredah tiupan angin kencang dan hujan lebat itu. Kami yang masih berhimpun di ruang tamu tiba-tiba dikejutkan oleh satu ketukan yang kuat. Ayah terus menerpa ke pintu.

    Abang berdiri dalam keadaan basah kuyup dan wajahnya pucat bagaikan tidak berdarah.

    Abang kemudian terus meluru ke arah emak dan memeluknya meminta maaf. Abang pun menceritakan hal yang terjadi itu kepada kami semua. Aku menggigil seram dan kagum kerana abang dan kawan-kawannya tabah menghadapinya. Abang penakut sedikit.

    “Bah…sudahlah…pergi mandi dan lepas itu minum air yang telah ayah sediakan itu,” pujuk ayah perlahan berasa bersyukur kerana tidak ada apa-apa yang menimpa ke atas diri Abang.

    “Kami nak tunggu adik kau yang belum balik lagi ni…jangan lupa sembahyang Isyak dulu…lepas itu terus masuk tidur,” sambung ayah lagi. Selepas kejadian menimpa abang, kerisauan jelas terpapar di wajah ayah dan emak kerana takut ada sesuatu juga akan terjadi pada adikku. Ayah terus berdoa dalam hatinya supaya adikku terlindung daripada bencana.

    Adikku ketika itu dalam perjalanan pulang dari rumah kawannya yang tinggal di kawasan perumahan. Adikku selalunya keluar rumah selepas sembahyang Isyak tetapi pada petang itu melihat akan cuaca berubah buruk, dia mengambil keputusan untuk turun awal sedikit walaupun telah dibantah oleh emak.

    “Tidak lama ku pergi ke rumah Roslan…lagipun Roslan nak balik ke Miri esok…takkan Sam tidak melawatnya..mak,” jelas Sam panjang lebar.

    “Tapi Sam…kau lihat di luar tu, dah nak hujan …kau tu mana tahan kena hujan…lagipun peperiksaan dah hampir tiba,” bantah emak lagi.

    Namun adikku berkeras juga kerana si Roslan ini adalah teman rapatnya. Ketika berbelok keluar dari kawasan perumahan tempat kawannya tinggal, Sam dapati keadaan sudah sunyi sepi begini masih ada kereta lalu lintas, bisik Sam dalam hatinya.

    “Tapi jam masih awal lagi baru pukul 11 malam. Mungkin kerana hujan lebat ni barangkali,” bisiknya lagi.

    Adikku dengan tenang saja mengendalikan motosikalnya. Keadaan malam yang bergelora itu dan dingin menyebabkan adikku terpaksa memperlahankan motosikalnya. Perjalanan itu melimpasi sebuah masjid yang baharu. Lampu untuk menuju masuk masih lagi samar-samar kerana baru hendak dipasang. Tiba-tiba adikku terdengar bunyi riuh-rendah,seakan-akan bunyi suara orang berzikir dan bercakap-cakap.

    “Eh…siapa pula yang berzikir di masjid jam ini? Kalau pun ada upacara pasti lampu di masjid terang-benderang,” kata Sam bingung kehairanan.

    “Upacara apa sampai lewat begini? Nak ku katakan datang dari rumah orang, tak mungkin, setahuku tak ada rumah pun berhampiran dengan masjid ni yang berdiri megah di atas kawasan yang sungguh lapang dan luas,” tambah Sam lagi.

    Adikku masih lagi dihantui persoalan ganjil itu. Baik juga adikku ini bukan jenis yang penakut selalu bersikap tenang bila menghadapi situasi yang tegang macam perangai ayah. Namun begitu jantungnya berdebar-debar juga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Ya Allah…” bisik adikku.

    “Siapakah mereka ni, manusia atau hantu?” bisiknya lagi sambil memandang sekeliling.

    Tak ada hamba Allah yang lain di jalan itu kecuali dia dan kelompok orang yang berjubah itu. “Apa juga pun ku hadapi dengan tabah,” adikku memberi semangat pada dirinya sendiri.

    Walau bagaimanapun, apabila kelompok orang yang berjubah itu menghampiri laluan adikku mereka tidak menoleh atau memandang adikku. Mereka terus berzikir ketika melimpasi motosikal adikku dan apabila tiba di selekoh menuju ke masjid, tiba-tiba mereka ghaib dari pandangan adikku. Adikku terus memecutkan motosikalnya meninggalkan kawasan itu.

    Setiba di rumah, kami kehairanan melihat tingah lakunya. Terduduk di kerusi seketika membisu seribu bahasa. Apabila ombak di dadanya kelihatan tenang dia pun menceritakan kejadian yang ganjil itu kepada kami. Ayah cuma mengangguk kepalanya diam seketika.

    “Yalah…lain kali dengar cakap orang tua. Cuaca macam ni pelbagai kejadian dengan izin Allah boleh berlaku,” ayah mula bersuara. 

    “Syukur Alhamdulillah kau dan abang kau tidak apa-apa. Itu adalah pengajaran buat kamu berdua selalu keluar malam,” nasihat ayahnya panjang lebar.

    Adikku menyesalinya lalu meminta maaf atas perbuatannya itu. Sejak dari kejadian malam tersebut mereka jarang lagi keluar malam. Keluar pun pasti balik awal. Kejadian itu membuat mereka menginsafi perbuatan mereka dan tidak lagi mengingkari nasihat-nasihat orang tua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda