Saturday, September 14, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akibat rokok warga Indonesia kena denda lebih $1.6 juta

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seorang warga Indonesia berusia 47 tahun, Nurfaiz, telah dikenakan denda lebih daripada $1.6 juta oleh Majistret Qamarul Affyian bin Abdul Rahman di Mahkamah Majistret kelmarin selepas mengaku bersalah memiliki rokok haram.

    Nurfaiz menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006.

    Bagi kesalahan pertama membabitkan 1,638 karton, 48 paket dan 25 batang rokok pelbagai jenis, dia didenda $1,547,040. Kegagalan membayar denda itu akan membawa kepada hukuman penjara selama 36 bulan. Bagi kesalahan kedua membabitkan 82 karton dan lima paket rokok, dia didenda $73,833, dengan hukuman penjara 17 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Kejadian berlaku pada 24 Ogos antara 10 pagi hingga 10:20 pagi di kediaman pekerja di kawasan Jalan Pangkalan Batu. Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, bertindak atas maklumat, melakukan serbuan yang membawa kepada penemuan barang seludup berkenaan.

    Selain denda, mahkamah mengarahkan rampasan dan pemusnahan semua rokok yang dirampas.

    Wang tunai bersama dua telefon bimbit yang ditemui di tempat kejadian turut dirampas untuk tindakan lanjut.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda