LOS ANGELES, 29 Nov – Seorang wanita California semalam dipenjara kerana mengasari dan mencekik pengurus McDonald selepas mendapati bahawa dia tidak mendapatkan sos tomato yang mencukupi, menurut polis.
Mayra Berenice Gallo, 24, pada 27 Oktober lalu berang selepas menempah makanan menerusi pandu lalu di kedai makanan segera di bandar Santa Ana.
Jurucakap polis, Anthony Bertagna memberitahu AFP bahawa Gallo meluru masuk ke restoran menerusi tempat masuk pekerja dan mula menolak dan mencekik mangsa selepas diberitahu bahawa dia tidak dibenarkan berada kawasan itu.
“Dia berang kerana tidak menerima sos tomato yang cukup,” menurut Bertagna.
Insiden yang turut dirakam itu berakhir dengan seorang lelaki bersama Gallo meleraikan pergaduhan itu.
Bertagna berkata, insiden seperti itu sering berlaku.
“Kami sering melihat perkara ini berlaku. Kenapa? Kami tidak tahu,” katanya. “Seorang lelaki mahu membeli coklat di kedai 7-Eleven dan kad kreditnya tidak berfungsi, dia kemudiannya merempuh kedai itu.” – AFP