BANGKOK, 20 FEB – Pemain baharu Jepun, Akie Iwai melaku pukulan menakjubkan 10-bawah-par 62 untuk mendahului pusingan pertama dengan kelebihan tiga pukulan dalam cuaca panas di kejohanan Honda LPGA di Thailand hari ini.
Pemain berusia 22 tahun itu mengejutkan Siam Country Club di Pattaya dengan tujuh birdie di sembilan lubang pertama dan tiga lagi di sembilan lubang terakhir untuk meraih kedudukan teratas selepas mengatasi Maja Stark dari Sweden.
Sementara itu, veteran Thailand, Moriya Jutanugarn menduduki tempat ketiga dengan enam-bawah par. Kembar Iwai, Chisato mencatat pusingan pertama yang sukar dengan empat bogey dan menamatkan pusingan pada dua par dan berkongsi tangga ke-40.
Akie Iwai, mencatat penampilan dalam musim pertama di jelajah wanita utama selepas beraksi cemerlang di siri Jepun, berkata dia gembira dengan prestasi yang baik secara keseluruhan.
“Hari ini saya memukul bola dengan baik dan juga melakukan pukulan dengan baik,” katanya.
Bintang dua kali Solheim Cup, Stark berkata dia gembira kerana mengawal bola de-ngan lebih baik berbanding di Piala Founders di Kelab Negara Bradenton, Florida, bulan ini, di mana dia gagal melayakkan diri.
“Saya rasa di Bradenton saya terlepas beberapa pukulan utama yang gagal dari tee dan betul-betul menjejaskan skor saya,” kata pemain berusia 25 tahun itu.
“Akhirnya saya dapat mengawal pukulan dari tee dan rasanya golf menjadi lebih mudah.”
Pemenang Piala Founders, Yealimi Noh pula mencatat dua-bawah-par di Pattaya dan menduduki tempat ke-23, ketika jelajah memulakan pusingan Asia yang turut melibatkan Singapura minggu depan dan China dari 6 hingga 9 Mac.
LPGA akan memperkenalkan dasar baharu mengenai corak permainan selepas pusingan Asia, bermula di Kejohanan Ford dari 27 hingga 30 Mac di Chandler, Arizona. – AFP
