Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akim & The Majistret berpecah?

    Vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad menafikan bakal meninggalkan kumpulan yang dinaungi sejak 2014.

    Sebaliknya, keputusan bergerak solo hanyalah untuk projek single terbaharu, Bayang.

    Akim berkata, single Bayang sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan dilancarkan sebagai single solo.

    “Karya ini berada dalam simpanan saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu. Stacy mencadangkan single Bayang dirakamkan, bagaimanapun saya belum bersedia ketika itu.

    “Stacy mengatakan lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tetapi, saya belum dapat menangkap melodi dan muziknya.

    Akim Ahmad menafikan bakal meninggalkan kumpulan yang dinaungi sejak 2014. – Agensi

    “Secara kebetulan, ada projek terbaharu daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam single secara solo. Jadi, saya ambil keputusan merakamkan single ini, memandangkan karya sudah pun ada.

    “Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Karya ini antara kerjasama istimewa kami dan memiliki nilai sentimental yang tersendiri,” katanya kepada wartawan.

    Single Bayang hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman. Ia memberi nafas baharu kepada muzik Akim, sekali gus menampilkan sisi berbeza penyanyi itu sepanjang 12 tahun pembabitannya sebagai penyanyi.

    Artis kelahiran program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh itu berkata, single Bayang disifatkan sebagai satu evolusi sebagai penyanyi.

    “Dari segi bunyi dan muzik, ia berbeza dengan konsep Akim & The Majistret. Muzik single Bayang lebih mengetengahkan instrumen elektronik, malah sangat istimewa kerana hasil cetusan idea saya dengan Stacy.

    “Disebabkan single Bayang projek solo, jadi saya mahukan sesuatu baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tetapi, kali ini saya ingin menunjukkan sisi berbeza pula.

    “Selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret, mungkin peminat ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad.

    “Jadi, inilah buah tangan terbaharu untuk peminat yang merindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, single Bayang ini satu evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda