Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Pasukan kedua teratas Liga Super Brunei 2023, AKSE Bersatu telah menyatakan hasrat mereka untuk mencapai tahap baharu dalam sejarah bola sepak mereka berikutan penambahan dua pemain profesional dan seorang ketua jurulatih dalam pasukan.
Pasukan itu mengambil khidmat Abdul Fattah @ Babatunde Abiodun Fatai dari Nigeria dan Malone Bian Andrew dari Malaysia semasa majlis menandatangani kontrak rasmi yang diadakan di Dewan BRIDEX di Jerudong kelmarin.
Majlis tersebut diketuai oleh Pengarah Urusan AKSE Bersatu, Faisal bin Haji Lamat, dan Pengarah Teknikal, Mutalib bin Haji Bakar, serta disaksikan oleh Pengiran Zamree bin Pengiran Haji Bujang dan Imani dari pengurusan Kumpulan Syarikat HiTune.
Kelab itu juga telah mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan, Rosanan Samak sebagai isyarat untuk meneruskan cita-cita mereka setelah mengukuhkan tempat mereka di liga utama.
Faisal dalam ucapannya berkata, “Alhamdulillah, hari ini menandakan hari bersejarah bagi AKSE Bersatu kerana ia adalah kali pertama kami mengadakan majlis penandatanganan kontrak untuk pemain profesional dan ketuajurulatih.”
Beliau menambah, “Dengan penambahan pemain profesional baharu dan ketua jurulatih, ia akan memimpin dan membimbing skuad bukan sahaja dalam pasukan senior tetapi juga pasukan remaja.”
Pemain dari kelab itu juga telah diiktiraf atas prestasi mereka selepas pemain muda, Awang Muhammad Zainul Ariffin bin Mahdinee telah disenaraikan dalam skuad kebangsaan bawah 22 tahun untuk menjalani latihan pada bulan ini.
Wakil AKSE Bersatu itu turut melahirkan harapan untuk melakukan peningkatan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat benua.
Selain mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan memenangi liga daerah, Faisal turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi utama kelab itu dan penaja, Kumpulan Syarikat HiTune serta ibu bapa pemain dan para
penyokong.
Sementara itu, Rosanan berkata, “Selepas menandatangani kontrak, secara peribadi saya berterima kasih kepada kelab atas kepercayaan mereka kepada saya.”
Dia berikrar, “Dengan pengalaman saya sebagai bekas ketua jurulatih kebangsaan, saya akan memberikan komitmen penuh kepada kelab untuk bersaing dalam Liga Super Brunei.”
Semasa sidang media di luar majlis, kedua-dua pemain import yang baru ditandatangani itu turut melahirkan rasa gembira dan teruja dengan perjalanan baharu mereka untuk membantu kelab.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan jersi kepada dua pemain profesional dan ketua jurulatih yang baru ditandatangani.