Akses vaksin penting bagi perjalanan selamat

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Akses kepada vaksin yang tepat pada waktunya dan saksama serta mengiktiraf vaksin-vaksin yang tersenarai di dalam WHO’s Emergency Use Listing adalah penting bagi membolehkan semula perjalanan yang selamat secepat mungkin sekali gus mampu menjalin hubungan pendidikan, sosial dan kebudayaan yang bermanfaat untuk semua.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara itu pada Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-13 secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, hari ini.

Semasa sesi plenari pertama sidang kemuncak tersebut, Baginda turut bertitah mengetengahkan bahawa mesyuarat yang diadakan serentak dengan ulang tahun ke-25 ASEM ini adalah merupakan peluang baik bagi mencerminkan nilai dan kepentingan ASEM.

Baginda seterusnya mengimbas semula bahawa semasa Sidang Kemuncak ASEM yang pertama pada tahun 1996 di Bangkok, para pemimpin telah mengenal pasti potensi yang amat besar dalam menghubungkan Asia dan Eropah untuk mencapai pertumbuhan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Mengukuhkan perkongsian ini penting memandangkan rakan-rakan ahli sedang kembali pulih daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan kepentingan kesalinghubungan digital dan ianya merupakan kepentingan bersama untuk menyelaras keperluan para penduduk dan perniagaan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-13 secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai Sidang Kemuncak ASEM ke-13 secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Justeru, Negara Brunei Darussalam menyambut baik bahawa usaha sedemikian ini akan diteruskan menerusi ‘ASEM Connectivity Initiative’.

Pada mengakhiri titahnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa isu kesihatan mental juga perlu ditangani untuk mengelakkan kesan-kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan penduduk serta menggariskan bahawa Negara Brunei Darussalam melihat potensi besar untuk ASEM bekerjasama dalam bidang ini melalui perkongsian kepakaran dan amalan-amalan terbaik.

Terdahulu sebelum itu, ucapan-ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, selaku pengerusi Sidang Kemuncak ASEM ke-13; Presiden Majlis Eropah, TYT Charles Michel, selaku penyelaras serantau bagi Kumpulan Eropah; Presiden Suruhanjaya Eropah, PYT Ursula von der Leyen, selaku penyelaras serantau bagi Kumpulan Eropah; Perdana Menteri Persekutuan Rusia, TYT Mikhail Mishustin, selaku penyelaras serantau Kumpulan NESA; Perdana Menteri Republik Slovenia, TYT Janez Jansa, selaku presiden Majlis EU dan penyelaras serantau bagi Kumpulan Eropah; dan Perdana Menteri Thailand, TYT Prayut Chan-o-cha, selaku penyelaras serantau bagi Kumpulan ASEAN.

Dalam sidang kemuncak ini, para pemimpin juga telah mendengarkan kenyataan-kenyataan daripada pihak berkepentingan ASEM.

Sesi pertama plenari berkenaan telah memfokuskan perbincangan mengenai peranan ASEM dalam me-ningkatkan multilateralisme ketika menghadapi cabaran-cabaran yang kompleks di samping rasa hormat, kefahaman dan kepercayaan di antara rakan-rakan ASEM melalui pengukuhan sistem perdagangan antarabangsa yang bersandarkan undang-undang serta kerjasama untuk mencapai pembangunan dan pertumbuhan mampan khususnya dalam menangani agenda perubahan iklim dan memanfaatkan peluang-peluang kesalinghubungan digital.