Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aksi adiwira tawan hati pengumpul komik

    Oleh Sim Y.H.

    Menampilkan watak-watak adiwira yang perkasa, beraksi menentang musuh untuk menyelamatkan dunia dan jalan cerita yang penuh aksi, setentunya akan menawan hati siapa saja yang membacanya.

    Dengan daya tarikannya yang tersendiri, tidak dapat dinafikan komik sudah menjadi pilihan bagi sebilangan besar peminat untuk puluhan tahun sejak popularitinya bermula pada tahun 1930an.

    Populariti watak-watak adiwira dalam komik kini terus memuncak dengan filem-filem, rancangan siri televisyen dan juga animasi yang mengetengahkan kisah-kisah menarik adiwira. Dengan kejayaan siri filem, televisyen, animasi dan juga permainan video, tidak dinafikan bahawa watak-watak adiwira berkenaan telah menakluki imaginasi dan kehidupan para peminat.

    Namun begitu, bagi sebahagian besar peminat setia watak-watak adiwira berkenaan, minat mereka bukannya lahir daripada siri filem, televisyen atau permainan video tetapi daripada buku komik yang menjadi pilihan bagi mereka.

    Menerusi komik itu, para peminat berpeluang untuk mengenali watak-watak berkenaan bukan sahaja kisah mereka menentang musuh atau menyelamatkan dunia tetapi juga mengenali mengenai kehidupan harian dan interaksi mereka dengan watak-watak lain di sekeliling dan juga kehidupan keluarga mereka.

    Antara koleksi komik semasa zaman persekolahan yang masih disimpan.
    Komik-komik keluaran penerbit Marvel yang mengetengahkan watak adiwira, X-Men, yang merupakan antara kegemaran penulis.
    Jalan cerita dan lukisan aksi yang menarik merupakan antara tarikan bagi penulis untuk terus meminati komik.
    Antara koleksi novel grafik yang menjadi pilihan bagi penulis.

    Keunikan perspektif kehidupan dan jalan cerita yang lebih terperinci menjadikan komik adiwira masih menjadi pilihan bagi para penggemar tegar watak berkenaan khususnya dan penggemar komik amnya.

    Penulis merupakan salah seorang penggemar dan pembaca komik sejak di bangku sekolah lagi, ingin berkongsi mengenai minat dan tarikan komik-komik yang menjadi sebahagian besar daripada zaman remaja serta dewasa.

    Minat terhadap membaca komik bermula daripada komik-komik seni mempertahankan diri dari Hong Kong. Walaupun pada masa itu kurang memahami jalan cerita yang ingin diketengahkan, tetapi lukisan penuh aksi menjadi tarikan yang menanam benih awal minat kepada seni cerita berilustrasi berkenaan.

    Melangkah ke zaman remaja, penulis mula mengenali dan beredar tumpuan kepada komik-komik yang mengetengahkan watak-watak popular daripada penerbit komik terkenal, Marvel seperti X-Men, X-Factor, X-Force, Iron Man, Spiderman, Fantastic Four dan Avengers.

    Di samping watak dan siri komik popular daripada Marvel, penulis turut meminati watak-watak daripada syarikat penerbit yang lain termasuk DC Comics, Image Comics, Malibu dan Valiant.

    Setiap penerbit mempunyai watak-watak yang menarik dan dengan kehadiran penulis-penulis yang berkaliber dan juga pelukis yang berjaya menghidupkan jalan cerita dengan visual yang hebat, adalah jauh menarik daripada aksi yang terdapat dalam filem-filem yang ditayangkan.

    Ini disebabkan ia memberikan peluang kepada penulisnya untuk membina jalan cerita dengan lebih menarik serta terperinci kerana tidak dibebankan oleh masa seperti sebuah filem. Di samping itu, pelukis atau artis komik berkenaan juga berpeluang untuk memberikan interpretasi mereka tersendiri mengenai satu-satu watak serta babak yang ingin disampaikan.

    Walaupun bagi sesetengah watak komik yang dikenali ramai, ia sudah mempunyai rekaan yang sinonim bagi peminat, tetapi kehebatan seseorang artis boleh memberikan input atau nafas segar dengan rekaan bagi menonjolkan watak itu mengikut gaya mereka tersendiri serta pada masa yang sama, tidak jauh lari daripada asas utama rekaan watak berkenaan.

    Masih lagi segar dalam ingatan, semasa zaman kegemilangan komik iaitu pada tahun 1990an, ratusan tajuk komik menjadi rebutan peminat dan puluhan syarikat penerbit kecil yang menerbitkan komik-komik mereka tersendiri selain daripada syarikat-syarikat penerbit gergasi.

    Pada masa itu, penulis masih menuntut di sekolah dan berkunjung ke kedai-kedai buku dan komik untuk mendapatkan isu komik keluaran terbaharu, merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

    Selain daripada komik yang dibeli sendiri, bertukar-tukar komik dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama turut digemari.

    Bukan sahaja berpeluang untuk membaca lebih banyak kisah-kisah menarik adiwira kegemaran, malah mengenali lebih ramai watak adiwira yang lain.

    Komik-komik dari tahun 1990an itu, kekal disimpan dalam kotak dan juga rak buku dan masih lagi dibaca dari semasa ke semasa bagi mengimbas kembali zaman remaja dan persekolahan.

    Pada masa ini, penulis lebih cenderung untuk membeli edisi koleksi komik yang memiliki beberapa isu komik dalam satu naskhah atau jalan cerita yang lengkap untuk dibaca.

    Koleksi yang mengetengahkan format novel grafik itu, memudahkan penulis untuk mengikut jalan cerita dan memberikan masa untuk membaca serta menghadamkan inti pati kisah yang ingin disampaikan oleh penulis dan pelukis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda