Telatah kumpulan Running Man dari Korea Selatan yang kembali ke Malaysia selepas hampir lapan tahun sejak persembahan kali terakhir mereka di negara ini, menggamatkan suasana petang Sabtu di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines di sini.
Menghiburkan kira-kira 5,000 peminat di konsert Run 2 U Live in Kuala Lumpur, enam ahli Running Man – Yoo Jae-suk, Ha Dong-hoon (HAHA), Jee Seok-jin, Kim Jong-kook, Song Ji-hyo dan Yang Se-chan – membuat penonton tidak kering gusi di sebalik kekangan bahasa.
Selain Jong-kook, lima lagi ahli tidak fasih berbahasa Inggeris, namun kekurangan berkenaan tidak menghalang mereka berinteraksi dengan peminat yang bersorak gemuruh menyambut kemunculan kumpulan itu di atas pentas tepat 5 petang dengan lagu popular BTS, Spring Day.
Sepertimana artis-artis K-pop yang pernah datang membuat persembahan di negara ini, ahli kumpulan Running Man juga berusaha menyelitkan ungkapan bahasa Melayu, antaranya “apa khabar”, “mantap” dan “terima kasih”, selain jeritan spontan Se-chan “saya kacak kan”, “rindu tak saya” dan “jom kita kahwin”, mencetuskan gelak ketawa penonton.
Selepas sesi memperkenalkan diri, dua permainan interaktif – Who Is Potman dan Cosplay Running Man – memeriahkan lagu suasana dengan setiap ahli menampilkan aksi spontan dan bersahaja.

Dua peminat bertuah turut dijemput ke pentas dan bersaing dengan Jong-kook serta berswafoto bersama semua ahli.
Momen lucu berterusan dalam pertandingan cosplay (peragaan kostum) apabila ahli kumpulan dibahagikan kepada dua pasukan dan mengenakan kostum unik seperti lipas dan baju pengantin. Mereka perlu menyelesaikan cabaran seperti mengambil swafoto serta mengecap tangan penonton.
Acara menjadi lebih menarik apabila peminat yang memenangi pertandingan cosplay diberi peluang bertemu dengan ahli Running Man dengan kostum peminat Jae-suk dan Ji-hyo antara yang paling mencuri perhatian.
Konsert diteruskan dengan persembahan solo dan duet setiap ahli. Se-chan mencuri tumpuan apabila meniru gaya ikonik Freddie Mercury ketika menyanyikan Bohemian Rhapsody, sementara Seok-jin memukau penonton dengan lagu All of Me nyanyian asal John Legend manakala Ji-hyo pula menampilkan aksi comel menerusi lagu popular BIBI, Bam Yang Gang.
Peminat semakin teruja apabila Jong-kook menyanyikan lagu baladanya One Man sebelum tampil berduet dengan Ji-hyo menerusi lagu We Need To Talk dan mencetuskan sorakan peminat untuk pasangan yang dikenali sebagai Spartace Couple itu.
Kejutan khas turut disediakan apabila semua ahli Running Man menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” buat Seok-jin yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 pada 10 Februari lepas. “Terima kasih, terima kasih,” ucap Seok-jin yang jelas terharu.
Keseronokan yang dirasai peminat berterusan apabila Jong-kook tampil sebagai Rosé Blackpink dan Jae-suk meniru gaya Bruno Mars ketika menyanyikan lagu APT.
Persembahan semakin rancak dengan persembahan Haha dan Se-chan yang mendendangkan lagu hit seperti Whiplash dan Dang Diggi Bang yang berentak reggae fusion dan hip-hop, membuatkan penonton turut menari bersama.
Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu diakhiri dengan lagu ikonik Running Man, I Like It, yang dinyanyikan bersama-sama dengan peminat dalam suasana penuh emosi.
“Terima kasih banyak kerana hadir petang ini. Kami sentiasa bercakap tentang anda dan segala yang kami lakukan adalah untuk anda. Sokongan anda selama ini benar-benar menyentuh hati kami. Kami akan terus maju dan berharap dapat berjumpa lagi pada masa depan. Terima kasih, Malaysia!” ujar mereka.
Sejak bersiaran pada 2010, program aneka ragam Running Man mencipta fenomena sebagai rancangan variasi paling digemari ramai. Keunikan konsep, keakraban ahli dan cabaran menarik menjadikan program ini kekal relevan hingga hari ini. – Bernama