SAN FRANCISCO, 23 JULAI – Perlawanan persahabatan Barcelona menentang Juventus di San Francisco dibatalkan kelmarin selepas jangkitan wabak virus gastroenteritis menular dalam kalangan pemain kelab gergasi Sepanyol itu.
“Sebahagian besar skuad blaugrana dijangkiti virus gastroenteritis,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.
Perlawanan di Stadium Levi’s dengan kapasiti 68,500 itu adalah sebahagian daripada siri Jelajah Juara-Juara Bola Sepak, yang menampilkan enam kelab terkemuka Eropah dan dijangka menarik ramai penonton.
Presiden Barcelona, Joan Laporta menerusi komen yang disiarkan di laman web pasukan itu berkata tiada tarikh telah ditetapkan untuk menjadualkan semula perlawanan itu.
“Kehidupan kadangkala memberi kami kejutan yang sekali gus mengubah rancangan kami. Ia sangat sukar untuk pasukan dan pada masa yang sama sangat sukar untuk penyokong kami,” kata Laporta.
Barcelona dijadualkan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Rabu ini di Stadium SoFi dekat Los Angeles.
Kemudian mereka akan berkunjung ke Dallas bagi pertembungan dengan kelab seteru utama di Sepanyol, Real Madrid pada Sabtu depan.
Barca seterusnya menamatkan jelajah mereka dengan perlawanan menentang AC Milan di Las Vegas pada 1 Ogos. – AFP
