MANCHESTER, 6 NOV – Phil Foden menjaringkan dua gol dan Erling Haaland menjaringkan satu gol menentang bekas kelabnya ketika Manchester City tewaskan Borussia Dortmund 4-1 kelmarin sekali gus lonjak ke tangga keempat dalam carta Liga Juara-Juara.
“Phil sudah kembali,” puji bos City, Pep Guardiola, setelah Foden bergelut dengan kecergasan dan prestasinya musim lalu. “Dia seorang pemain yang istimewa dan kami perlukan golnya, sudah tentu. Semoga dia memulakan langkah untuk terus lakukannya (lebih kerap).”
Dilantik sebagai kapten, Haaland terus mengganas tanpa belas kasihan kepada bekas majikan dengan gol ke-27nya dalam semua 17 perlawanan musim ini.
Gol Waldemar Anton adalah sebagai sagu hati untuk kebangkitan lewat Dortmund sebelum Rayan Cherki melengkapkan jaringan untuk City pada masa kecederaan meletakkan kelab Jerman itu di tangga ke-14.
Dortmund hanya tewas sekali dalam 14 perlawanan sebelum ini tetapi dijinakkan City di bahagian pertahanan untuk meneruskan trend penguasaan Liga Perdana setakat ini dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Guardiola berulang kali meminta pemain penyerangnya yang lain untuk meringankan beban menjaringkan gol ke atas Haaland.
Tiada pemain City lain yang menjaringkan gol lebih daripada sekali dalam Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi Foden telah menunjukkan prestasi cemerlang yang menyaksikannya memenangi anugerah pemain terbaik tahun ini dua musim lalu.
“Awda belajar banyak apabila awda melalui tempoh yang sukar,” kata Foden, yang alami penurunan prestasi semasa kekalahan kolektif daripada City musim lalu.
“Ia hanya tentang bercakap tentang bagaimana kami boleh kembali ke landasan dan cuba menjadi pasukan seperti dahulu dan saya fikir musim ini kami melihat sedikit gambaran tentang perkara itu.”
Foden memendekkan permulaan positif Dortmund pada minit ke-22 dengan rembatan kaki kiri rendah yang menjadi ciri istimewanya ke sudut gawang.
Foden menghasilkan satu lagi sentuhan hebat daripada hantaran Tijjani Reijnders sebelum merembat melencong ke sudut jauh melepasi Gregor Kobel menghasilkan jaringan ketiga untuk City selepas jaringan Haaland. – AFP


