MADRID, 20 FEB – Jaringan Hatrik Kylian Mbappe ketika menentang Manchester City kelmarin melayakkan Real Madrid ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-juara pada Rabu sekali gus memastikan kemaraannya bersama Los Blancos.
Dengan tiga penyudah berbahaya itu, Mbappe hanya melakukan apa yang diperlukan untuk membantu Madrid yang semakin meningkat di bawah kendalian Carlo Ancelotti untuk melakar kemenangan 3-1 dan maju secara agregat 6-3.
“Ini adalah jenis permainan yang kami mahu mainkan,” kata Mbappe.
“Ramai beritahu saya tentang malam-malam seperti ini. Sekarang saya dapat melihatnya sendiri dan saya mahukan lebih banyak lagi.”
Dengan 18 gol dalam 18 perlawanan terakhirnya, dia telah melakukan apa yang sepatutnya dan persembahan terbaiknya dengan jersi Madrid hadir di Santiago Bernabeu menentang City.
“Saya tahu bahawa saya tidak boleh melakukan lebih buruk daripada yang saya lakukan,” kata Mbappe kepada Movistar selepas aksi cemerlangnya menumpaskan City.
“Saya terpaksa bermain dengan personaliti, masa adaptasi saya sudah tamat dan saya perlu menunjukkan kualiti saya.”
Mbappe berkata kedatangannya ke Madrid untuk mencapai matlamat jangka panjangnya sebenarnya masih belum mencukupi.
“Menjadikan impian saya menjadi kenyataan adalah satu perkara, tetapi saya mahu bermain dengan baik di sini, menandakan satu era dan menulis sejarah di Real Madrid,” jelasnya.
“Dalam karier saya, saya telah menjaringkan banyak gol tetapi kita perlu melihat sama ada ia bermakna, kerana pada akhirnya kita bukan selalu memenangi kejuaraan. Jika saya boleh menjaringkan banyak gol dan juga memenangi trofi, saya akan menandatanganinya dengan darah saya.”
Setakat ini, Mbappe menjaringkan 28 gol untuk Real Madrid dalam 38 perlawanan dan prestasinya telah pun dibanding-bandingkan dengan pemain hebat sepanjang zaman kelab itu, walaupun dia baru sahaja bermula di Los Blancos.
“Dia mempunyai kualiti untuk mencapai tahap Cristiano (di Madrid),” kata Ancelotti kepada pemberita.
“Dia perlu bekerja kerana Cristiano menetapkan tahap yang sangat tinggi, (Mbappe) baru sahaja bermula di kelab ini.
“Untuk kualiti yang dia ada, dan keterujaan yang dia ada untuk bermain di sini, dia boleh mencapai tahap Ronaldo tetapi bukan mudah. Dia perlu bekerja.”
Cristiano Ronaldo menjaringkan 450 gol dalam 438 perlawanan untuk Madrid selepas menyertai Manchester United pada 2009, menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa pasukan itu. Idola zaman kanak-kanak Mbappe itu meninggalkan Madrid pada 2018.
Walaupun Vinicius Junior pula dikatakan meningkat untuk menjadi pemain utama kelab, namun kapasiti Mbappe untuk menjaringkan gol membuktikan dia boleh mencapai impiannya. – AFP
