Aksi JDT-KDA FC janjikan saingan sengit

JOHOR BAHRU, 4 MAC – Pertembungan merebut gelaran juara Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), bakal menguji ego kedua-dua pasukan serta menjanjikan aksi sengit sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.

Bekas penyerang pasukan Johor Fadzli Ahmad berkata, kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda berkaliber selain misi untuk terus mendominasi kancah liga, JDT merupakan satu pasukan yang sukar digugat ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata KDA FC yang menampilkan semangat juang tinggi dalam beberapa musim terdahulu, memiliki keupayaan memberi tentangan hebat untuk merampas kejuaraan daripada skuad Harimau Selatan.

“Ia pasti berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan pasti mahukan kejayaan dan koleksi kejuaraan di awal musim 2021, tetapi kelebihan adalah kepada pasukan JDT tetapi Kedah tidak kurang hebatnya. Mereka sebuah pasukan yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.

“Namun pada masa kini tidak dinafikan JDT antara pasukan terbaik di rantau Asia yang telah mencipta nama tersendiri, jadi mereka harus kekalkan kemenangan esok bagi menjaga nama baik dan reputasi pasukan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Perlawanan berlangsung esok menyaksikan kedua-dua pasukan bertembung buat kali keempat di pentas itu sejak lima musim lepas, dengan dua kemenangan edisi 2018 dan 2020 menjadi milik JDT manakala KDA FC menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti pada edisi 2017. – Bernama