SEJAK berdekad lalu, Jerry Lewis merupakan bintang yang menyinari arena komedi di Barat, khususnya Hollywood. Gandingannya bersama seorang penyanyi, Dean Martin cukup serasi sehingga diangkat sebagai pasangan komedi paling hebat dalam sejarah ketika era kegemilangan mereka pada tahun 1950-an.
Filem-filemnya seperti The Bellboy dan The Nutty Profesor yang mengangkat komedi slapstick, spontan dan gila-gila pernah mencatat kejayaan pecah panggung dan masih ditonton sehingga kini. Lewis yang juga merupakan penulis skrip, penyanyi dan pengarah turut aktif dalam aktiviti kemanusiaan. Dia menjadi hos rancangan kebajikan Telethon yang disiarkan setiap tahun pada Hari Buruh bagi mengumpul dana Persatuan Distrofi Otot.
Bagaimanapun Lewis disahkan meninggal dunia baru-baru ini, dipercayai akibat sakit jantung ketika berusia 91 tahun. Dia yang turut menghidap kanser prostat, diabetes serta pernah tiga kali mengalami serangan jantung meninggalkan seorang balu, Sandra Pitnick dan enam anak, Gary, Ronnie, Scott, Anthony, Christopher dan Danielle.
Sepanjang kariernya selama 70 tahun, Lewis merupakan antara selebriti Hollywood menerima bayaran tertinggi sama ada sebagai artis komedi, penghibur dan pengarah filem. “Dia merupakan bintang komedi paling terkenal pada eranya. Pertama, ketika bergandingan bersama Martin dan kedua, selepas memulakan kariernya sekitar pertengahan tahun 1960-an,” kata pengkritik filem, Leonard Maltin.
Menyusuri sejarah hidupnya, Lewis dilahirkan pada tahun 1926 dengan nama Joseph Levitch di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat. Bapanya, Danny merupakan penari dan penghibur manakala ibunya, Rae pula pemain piano. Bakatnya dalam bidang seni mula dikesan ketika berusia enam tahun apabila dia turut menjayakan persembahan di atas pentas bersama ibu bapanya.
Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Lewis berhijrah New York City dan menjadi penyanyi latar bagi artis rakaman seperti Betty Hutton, Frank Sinatra, Carmen Miranda dan Igor Gorin. Bagaimanapun, bakatnya lebih menyerlah di dalam bidang komedi sehingga ditawarkan bekerja di sebuah kelab komedi. Di sana, dia bertemu Martin yang mencadangkan supaya mereka menjadi pasangan komedi.
Lewis dan Martin membuat persembahan pertama di sebuah kelab malam di Atlantic City pada tahun 1946. Berbekalkan jenaka spontan dan aksi gila-gila, serta diselangselikan dengan nyanyian dan tarian, persembahan mereka yang unik dan luar biasa itu pantas meraih perhatian penonton. “Saya sudah berada di dalam industri ini lebih 55 tahun. Sepanjang tempoh itu saya tidak pernah melihat aksi komedi yang mampu membuatkan penonton ketawa tanpa henti seperti dilakukan mereka.
Fenomena
“Apa yang menghairankan, mereka tetap bersahaja walaupun keadaan di bawah pentas sudah menjadi huru-hara,” kata artis komedi, Alan King ketika mengimbau pengalamannya menyaksikan persembahan mereka di kelab malam di New York City pada tahun 1948. Sejak itu, nama Martin-Lewis terus menjadi fenomena di Hollywood. Ketika di Paramount Theatre, Manhattan pada tahun 1951, mereka telah membuat persembahan selama dua minggu berturut-turut dan kesemua tiket tersebut habis dijual.
Malah, penonton juga sanggup berbaris seawal 6 pagi di luar dewan yang berkapasiti 22,000 tempat duduk itu kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan tersebut. Kerjaya mereka turut mekar di stesen-stesen televisyen sehingga ke layar perak. Sepanjang 10 tahun, mereka telah berlakon sebanyak 16 filem bermula daripada filem pertama, My Friend Irma (1949) sehingga filem terakhir, Hollywood or Bust (1956) sebelum membawa haluan masing-masing.
Lewis kemudiannya meneruskan kariernya secara solo menerusi filem The Delicate Delinquent pada tahun 1957. Dua tahun kemudian, dia menandatangani kontrak bernilai AS$10 juta bersama Paramount Pictures membabitkan 14 filem dalam tempoh tujuh tahun.
Rajin belajar
Sepanjang tempoh itu, Lewis turut mempelajari teknik penghasilan filem bermula dari lensa kamera sehingga proses penyuntingan, selain mengarah dan menulis skrip bagi filem yang dihasilkannya.
“Dia merupakan bintang pecah panggung dan Paramount memberinya peluang untuk menghasilkan karya terbaik. Dia juga seorang yang rajin belajar ilmu komedi termasuk berguru bersama legenda komedi seperti Stan Laurel dan Charlie Chaplin. Dia mengetahui komedi dari segenap sudut,” ujar Maltin lagi.
Biarpun mempunyai jadual yang padat sebagai selebriti, Lewis juga turut aktif di dalam aktiviti kebajikan. Salah satu daripadanya, menjadi hos rancangan Telethon bertujuan mencari dana bagi Persatuan Distrofi Otot. Dia yang merupakan presiden persatuan mengendalikan rancangan itu selama 44 tahun dan berjaya mengumpul dana sebanyak AS$2.5 bilion.
Keluarga
Pada Mei 2011, dia mengumumkan persaraan sebagai hos rancangan yang bersiaran selama 20 jam itu. Lewis berkahwin dengan Patti Palmer yang merupakan seorang penyanyi pada Oktober 1944 dan dikurniakan enam orang anak lelaki, Gary, Ronnie, Scott, Anthony, Christopher dan Joseph. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama 36 tahun sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk berpisah.
Pada tahun 1983, Lewis yang ketika itu berusia 69 tahun berkahwin untuk kali kedua dengan Sandra Pitnick, seorang bekas pramugari dan penari. Mereka mengambil seorang anak angkat, Danielle. Pada 2009, dia menerima tamparan hebat selepas salah seorang anaknya, Joseph yang ketika itu berusia 45 tahun membunuh diri akibat pengambilan dadah.
Anak sulungnya, Gary yang merupakan penyanyi kumpulan Gary Lewis & the Playboys menyalahkan bapanya itu di atas kematian tersebut. “Bapa seorang yang mementingkan diri dan kejam. Dia tidak pernah menyayangi kami dan adik-adik yang lain. “Saya tidak pasti sama ada kematian Joe (Joseph) berkaitan dadah atau tidak tetapi saya percaya ia dapat dielakkan sekiranya bapa kami lebih bertanggungjawab. Saya percaya kematiannya berpunca daripada kekecewaan,” katanya dalam satu temu ramah bersama Contact Music.
Pada tahun 1984, Lewis telah menerima pengiktirafan Legion of Honor daripada kerajaan Perancis dan setahun kemudian pingat Distinguished Public Service daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Semasa Anugerah Academy pada tahun 2009, dia telah menerima Anugerah Kemanusiaan Jean Hersholt kerana penglibatannya dalam kerja-kerja sosial dan kebajikan. – Agensi