MADRID, 1 NOV – Perlawanan Real Madrid menentang Valencia dalam saingan La Liga hujung minggu ini telah ditangguhkan kelmarin oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol akibat banjir yang telah mengorbankan lebih 95 orang.
Perlawanan Villarreal di tempat sendiri menentang Rayo Vallecano turut ditangguhkan susulan banjir kilat yang melanda kawasan timur Sepanyol.
La Liga telah meminta Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) untuk menangguhkan perlawanan Valencia dan Villarreal dijadual berlangsung pada Sabtu, serta tiga perlawanan divisyen dua yang melibatkan pasukan dari kawasan terjejas.
“Penangguhan perlawanan yang dijadualkan dalam kejohanan profesional dan bukan profesional, termasuk bola sepak sebelas sebelah dan futsal (di wilayah Valencia) telah dipersetujui,” kata RFEF dalam satu kenyataan. – AFP