Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aksi penari cilik Pacu Jalur curi perhatian dunia

    PEKANBARU, INDONESIA – Berbekalkan dayung berwarna-warni, pendayung bersesak-sesak dalam bot panjang di barat Indonesia, mendayung penuh bersemangat di hadapan penonton perlumbaan yang berasa bangga dengan kejayaan tular seorang kanak-kanak lelaki yang terkenal dengan tarian di hadapan perahu tradisional.

    Perlumbaan tahunan Pacu Jalur di pulau Sumatera berakhir pada Ahad, dengan pegawai menganggarkan 100,000 lebih ramai penonton hadir pada tahun ini disebabkan tarian Rayyan Arkan Dikha yang berusia 11 tahun di atas perahu yang meluncur laju.

    “Saya datang untuk menonton Pacu Jalur kerana saya mahu membuat penggambaran dan menunjukkan festival itu kepada dunia,” beritahu pelancong Australia Duncan McNaught kepada AFP.

    “Saya rasa lelaki yang mendayung itu gila. Mereka hebat. Saya tidak sabar-sabar untuk menyaksikannya.”

    Klip 20 saat Rayyan menari di atas bot telah mendapat jutaan tontonan di media sosial.

    Rayyan Arkan Dikha duduk dalam perahu pasukannya sebelum perlumbaan di Sungai Kuantan. – AFP
    Peserta mendayung semasa festival lumba perahu Palu Jalur. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Rayyan Arkan Dikha (kiri) membuat persembahan semasa festival lumba perahu Pacu Jalur di Sungai Kuantan. – AFP
    Peserta menyediakan perahu mereka untuk pertandingan semasa festival Palu Jalur di Sungai Kuantan, wilayah Riau. – AFP
    Penyanyi rap Amerika, Melly Mike (tengah), dengan lagunya digunakan dalam persmebahan tarian budak Rayyan Arkan Dikha, memberikan reaksi semasa festival Pacu Jalur. – AFP
    Gambar AFP

    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Bintang sukan termasuk Alex Albon dari Formula Satu dan Marc Marquez dari MotoGP meniru gerakannya dalam video mereka sendiri, memusing tangan mereka kemudian menghayunkan tangan mereka ke depan dan ke belakang.

    Tarian yang tular itu telah menarik pengunjung dari seluruh negara dan dunia ke sungai Kuantan di Wilayah Riau, Sumatera.

    Warga Indonesia Yuyun Kurnia, 38, mengembara dari bandar Medan di Sumatera, perjalanan yang mengambil masa 17 jam dengan menaiki kereta, untuk menonton Pacu Jalur selepas mengetahui mengenainya dalam talian.

    “Selepas ia menjadi tular di media sosial, saya mahu melihat Pacu Jalur secara langsung,” katanya kepada AFP, sambil menambah ia adalah ‘menakjubkan’ untuk menyaksikan perlumbaan itu secara peribadi.

    Tahun lepas, perlumbaan itu menarik 1.4 juta pengunjung dan menjana lebih AS$2.5 juta kepada ekonomi tempatan, menurut Kementerian Pelancongan.

    Tahun ini, 1.5 juta penonton dijangka hadir, dengan kemasukan warga asing yang ketara, beritahu ketua agensi pelancongan Riau Roni Rakhmat kepada AFP.

    Pegawai percaya hasil pendapatan boleh melonjak kepada AS$4.6 juta di sebalik peningkatan perbelanjaan setiap orang.

    SUNGGUH BERGAYA

    Pacu Jalur bermula sejak abad ke-17, menurut laman web kerajaan tempatan, apabila penduduk mengangkut barangan dan orang ramai menggunakan bot panjang kayu tradisional yang dipanggil ‘jalur.’

    Bot itu berkembang untuk digunakan dalam perlumbaan, kini diadakan setiap Ogos.

    Penduduk berkata mereka gembira kepopularan budak lelaki itu telah menarik lebih banyak perhatian kepada perlumbaan tersebut.

    “Saya rasa adalah hebat bahawa seorang kanak-kanak pada usianya berjaya mencipta penjenamaan peribadi melalui Pacu Jalur. Melalui tariannya, dia telah memperkenalkan Pacu Jalur kepada seluruh dunia,” beritahu Naysila Ayunita Sari yang berusia 18 tahun kepada AFP.

    Acara itu mengubah pemandangan sebahagian sungai Kuantan, dengan khemah dan payung didirikan di sepanjang tebing sungai.

    Beberapa penonton terjun ke dalam sungai untuk melihat dari dekat perlumbaan itu.

    Peranan penari bot yang berbahaya di hujung depan bot bertujuan memberikan galakan kepada pendayung.

    “Kanak-kanak itu berdiri dan menari di atas bot, ia tidak mudah sama sekali,” kata penduduk Frima berusia 35 tahun, yang menggunakan satu nama seperti kebanyakan rakyat Indonesia.

    “Jika awda bertanya kepada saya sama ada saya cukup berani untuk mencuba… jawapannya tidak.”

    BERSYUKUR

    Lebih 220 pasukan, kebanyakannya mewakili kampung atau daerah tempatan, mengambil bahagian dalam perlumbaan tahun ini.

    Mereka bersaing untuk hadiah gabungan bernilai kira-kira 900 juta rupiah (AS$55,000), kata Roni.

    Pihak berkuasa menggunakan pendedahan yang semakin meningkat untuk menambah baik penganjuran acara dan kebersihan sungai, menurut Roni.

    Polis dan tentera sedang bertindak untuk menghentikan perlombongan emas haram berhampiran sungai itu sebelum perlumbaan untuk mengurangkan pencemaran, katanya.
    “Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tidak ada warga asing yang menyaksikan Pacu Jalur.

    Sekarang sudah ada,” katanya.

    Bagi penduduk tempatan seperti Frima, yang telah menonton perlumbaan sejak kecil, minat baharu dalam perlumbaan itu berada di luar imaginasi mereka.

    “Saya tidak sangka semua mata akan tertumpu pada tempat kecil di wilayah barat Riau ini,” katanya.

    “Saya bersyukur Pacu Jalur kini dikenali di seluruh dunia.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda