Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aksi Predator atasi keseraman The Nun

    KEMUNCULAN filem The Predator yang baharu ditayangkan pada minggu ini kelihatan berjaya menggugat kedudukan The Nun yang mendominasi carta Box Office pada minggu lalu.

    Filem arahan Shane Black itu berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$24 juta hasil tayangan dari 4,037 pawagam.

    Walaupun jumlah kutipan tersebut berjaya meletakkan filem The Predator di tangga pertama dalam carta minggu ini namun ternyata ia belum berjaya mengatasi kutipan sebanyak AS$24.7 juta yang diperoleh Predator ketika ia ditayangkan pada tahun 2010.

    Di peringkat antarabangsa, The Predator berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$54.7 juta.

    Ternyata kutipan yang lebih tinggi adalah menjadi harapan bagi mengembalikan semula kos setinggi AS$88 juta yang telah dilaburkan bagi merealisasikan filem tersebut.

    Antara aksi yang ditonjolkan dalam filem The Predator.
    Watak Sister Irene dalam filem The Nun dilakonkan oleh Taissa Farmiga.
    Anna Kendrick dan Blake Lively merupakan dua bintang utama yang membintangi filem A Simple Favor.
    White Boy Rick merupakan sebuah filem diadaptasi daripada sebuah kisah benar yang berlaku pada tahun 1980an.

    Walaupun kutipan yang diperolehi hasil tayangan filem The Predator dikatakan jauh lebih rendah berbanding apa yang disasarkan, namun pihak produksi tetap percaya ia tidak berpunca daripada kontroversi yang terpalit terhadap filem tersebut.

    Sebelum filem aksi ini ditayangkan, pihak produksi 20th Century Fox telah mengumumkan mengenai pemotongan babak yang menampilkan lakonan Steven Wilder Striegel ekoran daripada kontroversinya yang dilaporkan terlibat dalam isu penderaan seks.

    Pihak produksi tidak menyedari akan latar belakang Striegel ketika ia diberi peluang untuk menjayakan salah satu peranan dalam filem ini malah pengarah filem ini, Black juga telah memohon maaf berhubung perkara ini.

    Ketua Pengedar Domestik di Fox, Chris Aronson juga percaya bahawa skandal itu tidak mempengaruhi kadar kutipan yang diperolehi hasil tayangan filem tersebut.

    “Saya rasa isu tersebut tidak menghalang sesiapa pun untuk menonton filem ini kerana hakikatnya ia adalah bergantung kepada minat dan kemahuan seseorang individu itu sendiri,” jelas Aronson.

    Siri keempat dalam francais filem itu dibintangi oleh Olivia Munn, Boyd Holbrook, Trevante Rhodes, Jacob Tremblay, Keegan Michael Key dan Sterling K. Brown.

    The Nun terbitan Warner Bros pula menduduki tangga kedua dengan jumlah kutipan sebanyak AS$18 juta hasil tayangan dari 3,876 pawagam.

    Secara keseluruhan, filem seram itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$85 juta hasil tayangan selama dua minggu.

    Manakala di pasaran antarabangsa pula, filem itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$228 juta.

    Sementara, A Simple Favor pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$16 juta hasil tayangan dari 3,102 pawagam.

    Filem terbitan Lionsgate itu menampilkan aksi lakonan Anna Kendrick, Blake Lively dan Henry Golding.

    Sebanyak 67 peratus penonton yang memilih filem tersebut terdiri daripada golongan wanita dan 86 peratus daripadanya adalah terdiri daripada golongan wanita yang berusia 25 tahun ke atas.

    Ia diarahkan oleh Paul Feig yang sebelum ini pernah mengarahkan beberapa filem komedi lain seperti Freaks and Geeks dan Bridesmaids.

    Manakala, White Boy Rick terbitan Studio 8 yang juga baharu ditayangkan pada minggu ini pula menduduki tangga keempat.

    Filem lakonan Matthew McConaughey itu berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$8.8 juta hasil tayangan dari 2,504 pawagam.

    Crazy Rich Asians terbitan Warner Bros pula menduduki tangga kelima setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$8.7 juta hasil tayangan dari 3,385 pawagam.

    Secara purata, filem berkonsepkan kekeluargaan itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$149 juta dalam tempoh lima minggu bagi pasaran domestik.

    Antara filem lain yang baharu ditayangkan pada minggu ini adalah Unbroken: Path to Redemption terbitan Pure Flix, Lizzie terbitan Roadside Attractions, The Children Act terbitan A24 dan Mandy yang menampilkan aksi lakonan Nicholas Cage.

    Menurut comScore, jualan tiket pada minggu ini telah memperlihatkan peningkatan sebanyak 9.8 peratus berbanding pada minggu yang sama pada tahun lalu.

    Setakat ini, Black Panther kekal menjadi filem yang berjaya mendapat kutipan tertinggi bagi tahun 2018 di Amerika Utara dengan jumlah kutipan sebanyak AS$700 juta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda