YANGON – Dengan membuat beberapa aksi di sepanjang jalan konkrit, penunggang-penunggang muda melakukan aksi persembahan tarian ‘graviti’ dengan berhati-hati, suatu pemandangan yang manarik perhatian orang ramai terhadap budaya belia Myanmar yang berada di jalan-jalan bandar raya tersebut.
Setiap minggu berpuluh-puluh daripada mereka ini akan berkumpul berhampiran kawasan pagoda emas Yangon, Shwedagon, untuk membuat latihan di bawah langit malam, salah satu daripada sukan-sukan yang semakin popular di sana apabila negara itu cuba membuka kebebasannya selepas berdekad-dekad berada di bawah pemerintahan junta.
Kabyar Oo, yang menubuhkan kumpulan itu dua tahun lalu, berkata bahawa terdapat lebih daripada 100 penunggang di seluruh negara, kira-kira separuh daripada mereka di Yangon dan selebihnya di pusat bandar Mandalay. Ada daripada mereka ini berusia 20-an, di mana kebanyakan daripada mereka ini adalah pelajar sekolah yang mengimpikan untuk menjadi pemain profesional.
“Tidak ada pertandingan (formal) di sini,” kata Kabyar Oo memberitahu kepada AFP baru-baru ini semasa membuat latihan aksi basikal mereka.
“Jika kami mempunyai peluang, kami semua mahu untuk bersaing. Itu adalah impian bagi semua penunggang.”

Banyak daripada mereka ini menabung untuk membeli basikal BMX yang berpatutan, yang mana ia boleh mencecah dari AS$250 sehingga AS$2,500 – jumlah astronomi di negara ini (gaji minimum harian) adalah 3,600 kyat (AS$2.65). Manakala yang lainnya ada yang membelanjakan duit mereka itu untuk pembaikan dan ada pula yang menambah ciri-ciri bahagian tambahan dalam basikal itu.
“Apabila saya mendapat gaji saya pada akhir bulan ini, kesemua duit saya simpan di dalam bank,” kata Htet Aung, 24, yang bekerja di sebuah pejabat pertukaran mata wang. “Saya merasa itu adalah simpanan saya.”
Kumpulan itu, yang dikenali sebagai Myanmar BMX Riders, juga kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa Yangon untuk mendapatkan ruang kawasan bagi latihan yang dilengkapi dengan alat tanjakan yang betul dan prop sangga. Tetapi dengan dedikasi mereka ini, mereka juga menempuh ba-nyak halangan daripada saudara-mara mereka agar mereka berhenti melakukan sukan ini.
“Mereka melarang saya selepas saya mengalami kemalangan yang menyebabkan luka dan parut di muka saya, tetapi saya melakukan latihan tanpa memberitahu mereka,” kata pelajar berusia 14 tahun, Sai Aung Zaw Myint, sambil tersenyum.



Htet Wai Yan Oo, 23, yang datang dari Mandalay untuk menunggang basikal bersama kumpulan itu, menambah: “Ibu bapa saya tidak menyokong saya. Saya terpaksa menyimpan elaun sekolah saya selama enam bulan untuk membeli (basikal) pertama saya.”
Tetapi yang lain berkata sukan ini dapat membantu menangani kebosanan yang dihadapi para pemuda, jauh dari melakukan jenayah dan pengambilan dadah, di mana jumlah pengangguran belia adalah meningkat tiga kali ganda daripada jumlah penduduk keseluruhan.
Kadar penagihan dadah juga telah meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini kerana tablet campuran meth-kafein yang dikenali sebaga ‘yaba’ telah dijual berleluasa di tanah sempadan Myanmar.
“Saya membantu anak-anak muda seberapa banyak yang boleh untuk memastikan mereka sentiasa berminat dalam sukan dan menghentikan mereka dari melalukan perkara-perkara yang buruk dalam kehidupan,” kata Phone Myat Tun, yang menjual gear di kedainya.
“Cabaran bagi mereka ini adalah tekanan sosial.” – AFP