Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akta 852 tangani perokok elektronik golongan muda dikuatkuasa

    PUTRAJAYA, 16 MEI – Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sepenuhnya pada Jun depan sebagai langkah menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik membabitkan golongan muda.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan dapatan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, pengunaan rokok elektronik atau vape membabitkan golongan muda membimbangkan dan memerlukan tindakan pantas serta tuntas.

    “Penguatkuasaan Akta 852 ini berserta peraturan dan perintahnya, Insya-Allah akan kita laksanakan bermula Jun 2024 sebagai respons kepada peningkatan vape, sebab dalam akta kawalan produk merokok ia juga akta kawalan vape.

    “Kita harapkan dengan perintah dan peraturan kita akan dapat tangani peningkatan rokok elektroknik atau vape dalam kalangan orang muda ini,” katanya. 

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan hasil penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Penjagaan Kesihatan dan GATS 2023 di sini hari ini.

    GATS 2023 diterbitkan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

    Dapatan utama GATS 2023 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan prevalens pengguna rokok elektronik semasa meningkat secara drastik daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.

    Prevalens pengguna rokok elektronik dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 8.6 peratus pada 2023 berbanding 1.1 peratus pada 2011, menurut GATS 2023. – Bernama

    Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) pada Pelancaran Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) & Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di Putrajaya kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda