Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah melaksanakan dan menguatkuasakan Akta Hutan Penggal 46, bagi mengawal selia aktiviti pengambilan hasil hutan sebagai langkah strategik bagi memastikan biodiversti negara ini terus terpelihara dan diurus secara mampan.
“Sebarang pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan, dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat, manakala Akta Perlindungan Binatang Liar Penggal 102, mengawal selia aktiviti perburuan, pemilikan serta perdangan spesies hidupan liar yang dilindungi.”
Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Matussin semasa memberi respons kepada pertanyaan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman mengenai tatacara mengawal dan memelihara flora dan fauna serta tindakan undang-undang.
Yang Berhormat Dato pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini, di Bangunan Dewan Majlis seterusnya menjelaskan, pengawalan flora dan fauna ini melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei secara bersepadu.
Selain mengongsikan, dari segi kawalan perdangangan flora dan fauna pula Jabatan Perhutanan juga menguatkuasakan peraturan di bawah Convention In International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora melalui Perintah Flora dan Fauna Liar 2007.
“Bagi kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran, jabatan berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang yang mengenakan kompaun tidak melebih $1,000 bagi pengambilan atau memiliki hasil hutan tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan.
“Manakala denda tidak melebihi $500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-dua sekali bagi hukuman kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran di dalam hutan simpan,” jelasnya.
Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan turut memberi respons kepada pertanyaan Yang Berhormat Chong Ching Yee mengenai tatacara lawatan, adab dan pemasangan papan tanda waktu lawatan ke masjid.
Beliau menjelaskan, waktu lawatan bagi Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di mana Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengeluarkan jadual waktu lawatan, adab dan peraturan semasa membuat lawatan di masjid.
