Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akta Perlindungan Binatang Liar akan dikemaskinikan

    Oleh Sim Y. H. dan Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Akta Perlindungan Binatang Liar yang sedia ada telah pun wujud sejak 1978 dan telah dipinda buat kali pertama pada 1984, oleh itu perundangan yang sedia ada perlu dikemaskinikan untuk penambahbaikan selaras dengan keperluan perkembangan semasa supaya ia sejajar dengan perundangan yang berkuat kuasa di rantau ini dan peringkat antarabangsa.

    Pengemaskinian itu juga adalah untuk memastikan supaya versi semakan yang baru itu nanti adalah komprehensif dan cukup taktikal untuk dilaksanakan, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong ketika menjawab persoalan mengenai pindaan ke atas Akta Perlindungan Binatang Liar 1978 oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari (gambar) pada sidang MMN, hari ini.

    Beliau menambah bahawa pada masa ini, Bahagian Hidupan Liar dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara sedang melaksanakan proses pindaan perundangan berkenaan di mana antara pindaan yang dicadangkan oleh Bahagian Hidupan Liar termasuk menambah bilangan spesies yang dilindungi daripada 34 spesies sedia ada dengan mengambil kira senarai spesies tempatan di dalam International Union for Conservation of Nature, Red List of Threaten Species and Convention On International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora di mana ia termasuk menyenaraikan beruang madu dan tenggiling.

    pg09_170314_a

    Pindaan yang dicadangkan lagi ialah untuk mengadakan hukuman dan penalti yang lebih berat, memperketat peraturan atas pengeluaran permit dan lesen berburu, membunuh, menangkap, menjual, memelihara, memiliki, mengeksport dan mengimport termasuk mengawal ekspo dan pameran binatang liar serta menubuhkan dan mewartakan kawasan perlindungan binatang liar (sanctuary)di atas tapak yang diwartakan seperti hutan simpan secara ‘double gazettement’ atau kawasan baru khusus bagi kawasan perlindungan hidupan liar.

    Kawasan perlindungan binatang liar itu, jelas beliau lagi, boleh dijadikan sebagai tempat perlindungan dan melepaskan bagi program pemulihan dan pembiakan, di mana ia akan memudahkan inventori dan pemantauan hidupan liar dapat dibuat dan boleh dijadikan lokasi penyelidikan serta pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan hidupan liar di Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda