TIANJIN, China, 26 Dis – Sebuah mahkamah China telah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun hari ini ke atas seorang aktivis yang terkenal dengan nama samaran dalam talian ‘Super Vulgar Butcher’, selepas dia enggan mengaku bersalah terhadap tuduhan ‘menjatuhkan maruah kuasa kerajaan’.
Wu Gan, yang ditahan pada Mei 2015, telah menarik perhatian pihak berkuasa dengan seni pertunjukkan dan komen tajam tentang masyarakat dan politik China yang disiarkannya dalam talian.
“Dia tidak berpuas hati dengan sistem pentadbiran masa ini, dan dengan perlahan-lahan melahirkan pemikiran menjatuhkan maruah kuasa kerajaan,” mahkamah di Tianjin berkata dalam satu kenyataan dalam menjelaskan keputusan mahkamah.

Dengan ‘menggembar-gemburkan insiden-insiden panas’, Wu ‘menyerang sistem negara yang menjadi asas bagi kuasa kerajaan dan perlembagaan,’ menurut mahkamah.
Wu juga ‘menyebarkan maklumat palsu’ dan ‘menyerang yang lain secara dalam talian,’ menurut kenyataan itu lagi.
Aktivis terkenal itu, yang dapat dikenali dengan kepala botaknya dan juga kaca mata, menjadi tumpuan kemarahan kerajaan kerana menggunakan persona dalam taliannya menarik minat orang awam kepada kes-kes hak asasi kemanusiaan. – AFP