Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktivis Kemboja bantah larangan perjalanan ke Sweden

    PHNOM PENH, 6 OKT – Tiga aktivis alam sekitar Kemboja berjalan dengan rantai hari ini di Phnom Penh untuk membantah larangan perjalanan yang akan menghalang mereka daripada menerima anugerah berprestij di Sweden.

    Pada Isnin, mahkamah Phnom Penh menolak permohonan oleh aktivis Alam Semula Jadi Kemboja, Thun Ratha, 31, Long Kunthea, 25, dan Phuon Keoraksmey, 22, untuk pergi ke Stockholm bagi menerima anugerah Right Livelihood Foundation.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 18 hingga 20 bulan kepada ketiga-tiga individu pada Mei 2021 kerana mereka mengatur perarakan aman untuk membantah pembangunan hartanah di sebuah tasik yang dikambus tanah.

    Mereka dibebaskan pada akhir 2021, diletakkan di bawah pengawasan mahkamah yang ketat dan dihalang meninggalkan negara itu.

    Berjalan tanpa kasut dalam hujan, para aktivis hari ini menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan larangan perjalanan tersebut.

    “Tolong izinkan kami pergi ke Sweden, kami perlu mendapatkan anugerah kami,” kata Phuon Keoraksmey, sambil tangannya dirantai.

    Right Livelihood Foundation memuji Alam Semula Jadi Kemboja atas kerja mereka “di barisan hadapan bersama masyarakat tempatan untuk memelihara alam semula jadi dan sumber kehidupan, walaupun menghadapi penindasan kerajaan yang semakin meningkat terhadap aktivisme masyarakat sivil”.

    Organisasi yang berpusat di Stockholm itu mengatakan mereka berasa sedih kerana ketiga-tiga aktivis itu tidak dapat menghadiri majlis itu pada akhir November tetapi memuji keberanian mereka.

    Dalam satu kenyataan di laman webnya, yayasan itu mengkritik apa yang dipanggilnya sebagai ancaman berterusan, gangguan undang-undang dan pengawasan terhadap mereka yang menyokong organisasi tersebut oleh kerajaan Kemboja. – AFP

    Aktivis alam sekitar Kemboja berjalan dengan tangan dan kakinya dirantai di sepanjang jalan di Phnom Penh pada 6 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda