YANGON, 2 JUN – Seorang jeneral Myanmar, Tin Oo, yang menjadi aktivis demokrasi dan ahli pengasas parti Aung San Suu Kyi, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi, meninggal dunia kelmarin pada usia 97 tahun, kata seorang pembantu dan laporan media tempatan.
Tin Oo naik pangkat untuk berkhidmat sebagai komander tentera di bawah bekas orang kanan Ne Win, sebelum dipaksa berundur kerana didakwa menyembunyikan maklumat berhubung rancangan rampasan kuasa yang gagal.
Beliau menjadi salah seorang pengasas NLD pro-demokrasi selepas protes besar-besaran menentang bekas junta pada tahun 1988, dan seterusnya menjadi salah seorang orang kepercayaan terdekat Suu Kyi.
Beliau meninggal dunia pagi kelmarin di sebuah hospital di Yangon di mana beliau telah menjalani rawatan untuk masalah kesihatan, salah seorang pegawai keselamatan peribadinya memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Media tempatan juga memetik anaknya sebagai berkata dia telah meninggal dunia pagi kelmarin, tetapi tidak memberikan punca kematian.
Tin Oo telah ditahan oleh tentera selama lebih sedekad dalam tindakan keras yang menyusuli protes pada tahun 1988.
Beliau ditangkap sekali lagi bersama Suu Kyi pada tahun 2003 selepas kumpulan pro-junta menyerang perarakan kereta mereka, membunuh puluhan orang.
Pada 2017, penyokong setia NLD itu diserang angin ahmar dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah berundur daripada arena politik disebabkan usia tua dan kesihatan yang kurang baik. – AFP
