HONG KONG, 7 Nov – Aktivis-aktivis pro-demokrasi terkenal Hong Kong yang dipenjarakan kerana peranan mereka dalam Umbrella Movement 2014 telah diberikan cuti untuk merayu hukuman mereka oleh mahkamah tinggi bandar itu hari ini.
Joshua Wong dan Nathan Law dipenjarakan dalam bulan Ogos selepas kerajaan Hong Kong menggesa bagi hukuman lebih berat – daripada perintah khidmat masyarakat yang sebelumnya telah dijatuhkan ke atas mereka.
Rayuan kerajaan dilihat sebagai bukti terdapatnya pengaruh Beijing yang semakin meningkat ke atas bandar semi autonomi dan keinginannya untuk bertindak ke atas gerakan bebas yang semakin berkembang.
Wong, 21 tahun menjadi wajah pergerakan pro-demokrasi Hong Kong ketika masih seorang remaja lagi, telah dipenjarakan enam bulan. Law 24 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan. Mereka diikat jamin bulan lalu sementara menanti untuk membuat rayuan.
Seorang lagi rakan pembantah, Alex Chow, yang dipenjarakan tujuh bulan tetapi sebelumnya tidak memohon ikat jamin, juga hadir bagi sesi dengar hari ini.

Hakim Besar Geoffrey Ma berkata hak untuk merayu telah diberikan kerana persoalan adalah ‘kepentingan yang besar dan menyeluruh.”
Ma berkata satu perkara untuk dipertimbangkan ialah perkara yang harus diambil kira oleh mahkamah berhubung motif defendan terutamanya jika ‘ia menegaskan jenayah itu dilakukan oleh sebagai perbuatan ingkar sivil atau pengamalan hak perlembagaan.”
“Keputusan yang akan diberikan pada masa hadapan – yang begitu penting dan mentakrifkan semula sama ada perlembagaan kita, Hukum Asas akan lebih menghargai kebebasan awam atau lebih menghargai kawalan dan kestabilan oleh kerajaan,” Chow, 27 tahun memberitahu para pemberita.
Berbelas-belas penyokong berhimpun di luar bangunan mahkamah, dengan membawa payung berwarna kuning, simbol perhimpunan beramai-ramai dalam tahun 2014.
Sejak itu semakin banyak petanda dapat dilihat yang menyebabkan China meningkatkan kawalannya ke atas bandar itu, dengan Beijing terutamanya berang dengan desakan aktivis bagi kemerdekaan Hong Kong. – AFP