Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti-aktiviti tumpuan pelancong

    KOTA BHARU – Kota Pengkalan Datu yang terletak di Sering boleh menjadi pelancongan baharu kepada Kelantan terutama dengan adanya tarikan menerusi aktiviti di sepanjang lembangan sungainya.

    Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), Mohd Asri Husin berkata usaha mengangkat kampung itu giat dijalankan kerana di situ disediakan empat produk pelancongan utama iaitu warisan sejarah, kesenian, kebudayaan dan alam semula jadi serta kebudayaan tani dan makanan tradisional.

    “Apa yang kita cuba tonjolkan pada masa ini adalah dengan mempergiatkan aktiviti yang melibatkan komuniti di mana aktiviti setempat dijadikan asas produk pelancongan termasuk kaedah menangkap ikan secara tradisional seperti bubu, jala, pukat dan mencari lokan serta menyadap nira nipah di sepanjang Sungai Pengkalan Datu. Kita kembangkan lagi produk pelancongan di Sungai Pengkalan Datu dengan menyediakan Pasar Tani Terapung yang diadakan setiap Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga tengah hari serta Pasar Nelayan Pulau Gajah yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 2 pagi hingga 5 petang di mana hasil laut yang segar dijual di sini,” katanya kepada Bernama.

    Mohd Asri telah mengatakan kedudukan Pasar Terapung Pengkalan Datu terletak kira-kira 7 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP)  dan 10 km dari bandar Kota Bharu. Beliau berkata untuk memberi memberi kelainan, aktiviti belayar menyusuri sungai disediakan untuk membolehkan pelancong melihat sendiri pemandangan alam semula jadi dan aktiviti masyarakat sekitar Sungai Pengkalan Datu.

    Beliau menambah, banyak kerja menaik taraf dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengadakan kajian bagi memartabatkan warisan, khazanah dan bangsa di sekitar lembangan sungai berkenaan.

    Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) Mohd Asri Husin ketika temu bual bersama Bernama baru-baru ini. – Bernama

    Antara warisan yang masih dijaga termasuk seni silat, rebana ubi, kertok, dikir barat, wau ukir, gasing, mencanting batik, pertandingan ayam berkokok dan khazanah rumah lama Cina Peranakan berusia 250 tahun yang masih ada di lembangan Sungai Pengkalan Datu.

    “Makanan tradisional yang dijual di Pasar Terapung pula ialah ubi kayu parut, kerabu nipah, nasi kerabu dan nasi dagang dan beberapa jenis kuih termasuk ‘serabai’, akok, lompat tikam dan tepung bungkus selain masakan panas serta ikan bakar yang disediakan oleh restoran ini,” katanya.

    Beliau yang juga Pengurus di Cerana Villa Resort berkata penginapan itu adalah satu-satunya resort kebudayaan tani sepanjang sungai yang boleh memuatkan 50 penghuni dalam satu masa dengan harga bilik serendah RM90 untuk standard dan RM150 untuk keluarga, manakala bagi kemudahan kepada pelancong yang gemar memancing di laut dalam juga turut disediakan.

    “Promosi lembangan Sungai Pengkalan Datu yang dijadikan destinasi pelancongan baharu kini sudah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, juga pernah mendapat anugerah pertama My Kampung My Future di Kelantan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Selain itu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut membantu promosi, malah mengiktiraf program Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu sebagai salah satu pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

    Kata Mohd Asri, apa yang dilakukan itu adalah lahir dari hatinya yang berhasrat mahu mengembalikan semula nostalgia kemasyhuran yang pernah wujud di Pengkalan Datu suatu masa dahulu.

    “Sekarang, bukan sahaja sungai Pengkalan Datu ini bersih, malah di sini terdapat peninggalan sejarah yang berkait dengan Puteri Saadong yang dikatakan pernah menjadikan tempat ini sebagai laluan ke Thailand, selain ada dakwaan bahawa lokasi ini menjadi laluan oleh pelayar yang bernama Munsyi Abdullah. Nama Kota Pengkalan Datu diambil dari ‘Datu’ iaitu seorang Gabenor Patani yang dihantar oleh kerajaan Patani suatu masa dahulu yang memerintah negeri Kelantan bersama dengan sultan dan raja-raja Kelantan selepas negeri itu digabungkan dengan Patani,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda