Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Orang ramai tidak ketinggalan untuk sama-sama menyokong dan menjayakan usaha mengumpul dana bagi mereka yang memerlukan, khususnya Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP) menerusi Aktiviti Amal Kutipan Dana bagi TABP, Kementerian Kesihatan yang berlangsung di Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara, hari ini.
Aktiviti amal yang berlangsung dari 10 pagi hingga 5 petang itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai TABP yang telah ditubuhkan pada 2007 di Kementerian Kesihatan dan seterusnya bagi mengumpulkan dana bagi TABP.
Aktiviti yang dianjurkan oleh Kumpulan An-Nasirin daripada Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-36 anjuran Institut Perkhidmatan Awam, di bawah modul Projek Jangkauan Masyarakat dengan kerjasama Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (MSW), Jabatan Perkhidmatan Renal, Hospital Suri Seri Begawan, Super Slim Fit Brunei, KLEAN (UBD) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM).
Pelbagai aktiviti menarik diadakan, temasuk aktiviti fizikal seperti bone and stretch therapy, functional pilates, foam roller therapy, saringan kesihatan umum dan buah pinggang, kuiz dan aktiviti kesedaran kesihatan serta klinik menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah.
TABP merupakan sumber kewangan untuk bantuan serta-merta dan secara sementara kepada pesakit yang dirujuk ke perkhidmatan MSW, Kementerian Kesihatan.
Ia bertujuan memastikan pesakit sentiasa mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan psiko-sosial seperti makanan asasi, susu tepung khusus untuk kanak-kanak dan dewasa, lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan dewasa serta peralatan perubatan dan fasiliti kemudahan mobiliti pesakit di rumah demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.



