Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Kumpulan An-Nasirin daripada Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-36 anjuran Institut Perkhidmatan Awam, di bawah modul Projek Jangkauan Masyarakat akan mengadakan Aktiviti Amal Kutipan Dana bagi Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP), Kementerian Kesihatan di Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang pada 31 Ogos nanti.
Projek tersebut merupakan kerjasama Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (MSW); Jabatan Perkhidmatan Renal, Hospital Suri Seri Begawan, Super Slim Fit Brunei, KLEAN (UBD) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Aktiviti yang diadakan sepanjang program diadakan adalah termasuk aktiviti fizikal seperti bone and stretch therapy, functional pilates, foam roller therapy, saringan kesihatan umum dan buah pinggang, kuiz dan aktiviti kesedaran kesihatan dan klinik menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah.
Dalam hubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai aktiviti berkenaan sambil beramal dengan menghulurkan derma kepada TABP di mana penyertaan adalah percuma dan hadiah-hadiah menarik turut disediakan.
Aktiviti amal kutipan itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai TABP yang telah ditubuhkan sejak 2007 di Kementerian Kesihatan dan seterusnya bagi mengumpulkan dana bagi TABP.

TABP merupakan sumber kewangan untuk bantuan serta merta dan secara sementara kepada pesakit yang dirujuk ke perkhidmatan MSW, Kementerian Kesihatan.
Ia bertujuan untuk memastikan pesakit akan sentiasa mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan psiko-sosial seperti makanan asasi, susu tepung khusus untuk kanak-kanak dan dewasa, lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan dewasa, peralatan perubatan serta fasiliti kemudahan mobiliti pesakit di rumah demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.
Dalam pada itu, Kumpulan An-Nasirin juga telah melancarkan satu poster kesedaran mengumpulkan dana bagi TABP untuk orang ramai menghulurkan derma bermula pada 11 Ogos hingga 27 September.
Projek itu diharapkan dapat menggalakkan masyarakat untuk melaksanakan inisiatif amal kebajikan bagi memastikan TABP sentiasa menerima sumber kewangan yang berterusan untuk membantu golongan pesakit yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi MSW, Kementerian Kesihatan di talian 2242424 sambungan 5809 atau melalui e-mel, msw@moh.gov.bn.

