Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Dalam musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, golongan yang kurang bernasib baik turut diberikan perhatian dan bantuan di mana sebagai sebahagian daripada aktiviti kempen tanggungjawab sosial korporatnya, pihak pengurusan dan kakitangan Nissan Brunei telah mengadakan Aktiviti Amal Pemanduan Sosial Nissan (Nissan Social Drive), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Nissan Brunei, di sini, hari ini, pasukan pengurusan dan kakitangan Nissan Brunei membuat perjalanan konvoi menggunakan Nissan Almera Turbo dan kenderaan-kenderaan Nissan yang lain untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di keempat-empat daerah.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa bagi kumpulan Nissan Brunei, menerusi kegiatan amal berkenaan, bukan sahaja sumbangan untuk membantu masyarakat tetapi ia juga melambangkan usaha mereka bagi menjana perubahan yang positif ke atas kehidupan masyarakat yang memerlukan.
Ia juga merupakan usaha organisasi berkenaan untuk menjana budaya sihat dan mampan bagi kakitangan mereka.
Aktiviti amal berkenaan diketuai oleh Penolong Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Boustead Sdn Bhd, Reese Wong yang menyatakan bahawa aktiviti itu memberikan peluang kepada keluarga Nissan untuk memberikan bantuan serta sentuhan dalam kehidupan mereka yang memerlukan.
Kempen itu mempunyai matlamat untuk menjana persekitaran dan membina budaya penyayang dan peka dalam kalangan komuniti tempatan. Nissan Brunei akan terus mengamalkan tanggungjawab sosial mereka dengan menumpukan kepada bidang-bidang ke arah membantu menyumbangkan amalan yang baik kepada masyarakat dan komuniti serta menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya untuk membantu golongan yang memerlukan.
