Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan bahawa Program Bandarku Ceria yang ditiadakan untuk sementara waktu sepanjang bulan Ramadan diadakan semula bermula 6 Jun depan.
Kenyataan menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti yang diadakan semula adalah semua jenis aktiviti Bandarku Ceria termasuk aktiviti riadah dan berjaja di sepanjang Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Pemancha, Jalan Pretty, Jalan Roberts, dan Jalan Elizabeth II.
Sehubungan itu, KHEDN menasihatkan para penjaja dan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkuasa lain dalam menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan diri, memastikan persekitaran sentiasa bersih, dan mengelakkan dari mengunjungi tempat perkumpulan orang ramai jika merasa tidak sihat.