Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Untuk mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan peminat basikal lipat di negara ini, seramai 18 orang ahli kumpulan TRIO BN meneruskan lagi aktiviti berbasikal secara berkumpulan di Daerah Temburong.
Aktiviti berbasikal berkenaan bermula dari kawasan letak kereta Tamu Pekan Bangar melalui Jalan Amo masuk ke Jalan Rataie ke Kampung Temada dan berpatah balik melalui Jalan Bokok menuju ke Kampung Belais dan Buda-Buda keluar ke Jalan Puni dan kembali ke kawasan Tamu Pekan Bangar, sejauh lebih kurang 51.06km. Selain mengeratkan silaturahim, ia juga diadakan untuk menjaga kesihatan serta menikmati keindahan kampung.
Sempena Hari Bapa Sedunia, yang disambut semasa aktiviti berbasikal berkenaan, keseluruhan penunggang basikal lipat tersebut berusia antara 50 hingga 70 tahun.
Ia diketuai oleh Pengiran Shahminan bin Pengiran Haji Abdul Rahim. Aktiviti tersebut turut disertai ahli-ahli daripada Oil Town Cycling dan Panaga Foldies Daerah Belait di samping peminat-peminat basikal lipat dari Daerah Brunei dan Muara.
